Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

Tak Pernah Kenal Bapa & Tiada Nafkah, Wajarkah Tetap Doakan Kebaikan Buatnya?

Membesar tanpa kasih sayang dan nafkah bapa kandung memang perit. Namun, wajarkah seorang anak tetap mendoakannya? Ini jawapan yang perlu anda tahu.

Tak Pernah Kenal Bapa & Tiada Nafkah, Wajarkah Tetap Doakan Kebaikan Buatnya?
Gambar: Harian Metro

Bukan semua orang bertuah dapat membesar dengan kasih sayang seorang bapa. Ada yang melalui fasa kehidupan serba kekurangan akibat perpisahan ibu bapa sejak kecil, hingga langsung tidak pernah menatap wajah mahupun menerima nafkah daripada bapa kandung sendiri.

Situasi sebegini kerap meninggalkan luka emosi yang mendalam. Malah timbul persoalan berat dalam sanubari anak-anak: perlukah mendoakan seorang bapa yang langsung tidak pernah mengambil tahu hal kebajikan mereka?

Iklan

Ikatan Nasab Tidak Pernah Putus

Perceraian antara suami dan isteri hanya memutuskan ikatan perkahwinan, tetapi sama sekali tidak mematikan hubungan nasab antara bapa dan anak. Bapa tetap memikul tanggungjawab besar mengikut syarak untuk menyara anak dari sudut nafkah dan pendidikan selagi mampu.

Jika seorang bapa berkemampuan tetapi sengaja culas memberi nafkah, perbuatan itu adalah satu dosa kerana mengabaikan amanah di bawah tanggungannya. Bagaimanapun, anak dinasihatkan agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukum tanpa mengetahui kedudukan sebenar atau kekangan yang mungkin dihadapi bapa.

Normal Rasa Asing Dan Terluka

Adakah salah jika anak berasa tawar hati, kecewa atau langsung tiada ikatan emosi dengan bapa yang tidak pernah hadir dalam hidupnya? Jawapannya, anak tidak perlu berasa bersalah atas emosi tersebut.

Iklan

Rasa kasih dan sayang biasanya mekar melalui masa yang diluangkan bersama serta perhatian yang berterusan. Apabila perkara asas itu tiada sejak awal, fitrah manusia akan berasa janggal dan sukar membina rasa sayang.

Namun begitu, Islam tetap meletakkan batas adab. Perasaan kecewa atau terluka tidak wajar diterjemahkan dalam bentuk makian, penghinaan atau perbuatan zalim yang melanggar syariat.

Sangat Digalakkan Untuk Mendoakan

Berkenaan persoalan sama ada wajar mendoakan bapa yang tidak memberi nafkah dan tidak dikenali, tindakannya amat digalakkan. Berbuat baik kepada ibu bapa tidak bersyarat pada layanan yang diterima, dan doa adalah pintu kebaikan paling mudah untuk dihadiahkan.

Iklan

Jika sukar membaca doa lazim yang merujuk kepada jasa ibu bapa membesarkan kita sewaktu kecil, anak boleh menukar susunan doa mengikut situasi yang lebih sesuai:

  • Jika bapa masih hidup: Doakan agar dibukakan pintu hatinya, dilembutkan jiwa, diampunkan dosanya dan dikurniakan taufik serta hidayah untuk bertaubat.
  • Jika bapa sudah tiada: Sekiranya dia meninggal dunia dalam Islam, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat Allah SWT buat rohnya.

Mendoakan kebaikan insan yang pernah mengabaikan kita bukan bermakna membenarkan kesilapannya. Sebaliknya, ia melambangkan kebersihan jiwa seorang anak dan cara terbaik untuk melepaskan beban rasa sakit di dalam hati.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan