Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Enjin Rosak Lepas Isi RON95: Petron Dan Caltex Mula Bayar Pampasan Ihsan

Pemilik kenderaan yang terjejas akibat isu petrol RON95 tercemar kini mula menerima bayaran ganti rugi ihsan daripada Petron dan Caltex.

Enjin Rosak Lepas Isi RON95: Petron Dan Caltex Mula Bayar Pampasan Ihsan
Gambar: ohmymedia.cc

Isu enjin kenderaan tiba-tiba rosak dan meragam selepas mengisi minyak petrol RON95 baru-baru ini sememangnya merisaukan ramai pengguna jalan raya. Mana tidaknya, kos membaiki enjin kenderaan bukannya murah, lebih-lebih lagi jika kerosakan itu berlaku secara mengejut tanpa disangka.

Bagaimanapun, bagi mangsa yang terkesan dengan masalah ini, ada sedikit kelegaan untuk anda. Dua syarikat pembekal bahan api utama, iaitu Petron dan Chevron yang mengendalikan jenama Caltex, dilaporkan sudah mula menyalurkan bayaran ganti rugi secara ihsan kepada pemilik kenderaan yang terlibat.

Iklan

Bayaran Ihsan Tanpa Pengakuan Liabiliti

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat. Menurut beliau, kedua-dua syarikat berkenaan sudah memulakan program pemulihan pelanggan bagi menangani aduan kerosakan yang telah disahkan sahih.

Namun begitu, bayaran secara ihsan ini diberikan berdasarkan kriteria tertentu dan dokumen sokongan yang lengkap, tanpa sebarang pengakuan liabiliti atau kesalahan daripada pihak syarikat minyak buat masa ini. Langkah ini diambil sebagai tindakan segera sementara siasatan terperinci mengenai punca sebenar masih diteruskan.

Ujian Awal: Tiada Unsur Air Dikesan

Sebelum ini, ramai yang beranggapan bahan api tersebut mungkin bercampur dengan air sehingga menjejaskan fungsi enjin kenderaan. Tetapi, dapatan awal Jabatan Kimia nampaknya menunjukkan perkara yang berbeza.

Iklan

Hasil analisis terhadap 43 sampel awal mendapati kandungan air berada pada tahap kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had minimum pengesanan. Oleh itu, siasatan kini beralih kepada kemungkinan wujudnya kehadiran bendasing lain atau isu berkaitan formula bekalan minyak pada tempoh tersebut.

Secara keseluruhannya, sebanyak 262 sampel petrol RON95 telah diambil membabitkan lapan negeri serta tiga depoh penyimpanan minyak sejak aduan mula diterima pada awal Oktober lalu. Malah, syarikat minyak turut menghantar sampel berkenaan ke makmal luar negara bagi mendapatkan keputusan yang lebih menyeluruh.

Bukan Masalah Menyeluruh, Lokasi Terhad

Pihak kementerian menjelaskan insiden ini bukan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan petrol negara, sebaliknya tertumpu kepada bekalan pada tempoh masa tertentu di beberapa lokasi, terutamanya di Kedah dan Pulau Pinang. Disebabkan isu ini juga, masih ada stesen minyak yang terpaksa ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Iklan

Bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan, kerajaan kini sedang membuat penandaarasan bersama beberapa negara luar termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia untuk memperketat kawalan kualiti bahan api di seluruh rantaian bekalan.

Saluran Untuk Tuntut Hak Pengguna

Bagi pemilik kenderaan yang sudah mengemukakan tuntutan tetapi tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan ihsan yang ditawarkan, anda tidak perlu risau kerana masih ada saluran undang-undang yang sah.

Pengguna boleh mengambil beberapa tindakan lanjut seperti berikut:

Iklan
  • Mengemukakan aduan rasmi terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
  • Membawa kes tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
  • Memfailkan tindakan sivil di mahkamah bagi menuntut pampasan sewajarnya.

Sekiranya kenderaan anda pernah mengalami masalah sama selepas mengisi minyak di stesen terlibat dalam tempoh berkenaan, pastikan segala resit pengisian, laporan bengkel dan bukti kerosakan disimpan dengan kemas bagi memudahkan proses semakan tuntutan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan