Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Ibu Aliff Daniel Sebak Lafaz Taubat, Akui Leka Hingga Anak Terpesong

Ibu kepada pemuda yang tular sertai upacara agama lain, Aliff Daniel, sebak mengakui kesilapan dan melafazkan ikrar taubat bersama dua anaknya secara terbuka di hadapan pihak berkuasa agama.

Ibu Aliff Daniel Sebak Lafaz Taubat, Akui Leka Hingga Anak Terpesong
Gambar: ohmymedia.cc

Isu membabitkan pemuda bernama Aliff Daniel yang sebelum ini tular kerana menyertai upacara ritual agama lain akhirnya menemui titik noktah yang melegakan ramai. Ibunya, Rohizayanti Ramli, dilihat tidak dapat menahan sebak ketika tampil melafazkan pengisytiharan taubat secara terbuka baru-baru ini.

Menerusi siaran langsung di laman Facebook Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), wanita berusia 52 tahun itu dengan penuh rendah diri mengakui segala kelemahan dan kekhilafannya dalam membesarkan anak tersayang. Baginya, apa yang berlaku berpunca daripada kecuaian serta kekurangannya sendiri dalam membimbing keluarga.

Iklan

Akui Terleka Dengan Tuntutan Duniawi

Ketika membacakan teks pengisytiharan taubat berkenaan, Rohizayanti secara jujur meluahkan rasa bersalah kerana tidak memantau dan membentengi akidah anak-anaknya dengan secukupnya. Beliau menjelaskan bahawa kekurangan ilmu agama dan kesibukan mengejar urusan dunia membuatkan dirinya terlepas pandang pergaulan serta pemikiran anaknya.

Kelekaan tersebut akhirnya membawa padah apabila Aliff Daniel, 21, mudah terpengaruh dengan fahaman dan amalan yang jelas bertentangan dengan pegangan Islam sebenar. Rohizayanti tidak menyalahkan sesiapa melainkan meletakkan tanggungjawab itu di atas bahunya sendiri sebagai seorang ibu.

Lafaz Taubat Bersama Dua Anak

Bukan Rohizayanti seorang sahaja yang hadir pada majlis tersebut, malah Aliff Daniel bersama adik perempuannya, Nur Ranea Ezreen Adli yang berusia 19 tahun, turut sama melafazkan ikrar taubat secara rasmi.

Iklan
Ibu Aliff Daniel Sebak Lafaz Taubat, Akui Leka Hingga Anak Terpesong

Sesi penuh bermakna ini berlangsung di hadapan saksi utama iaitu Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini, serta Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.

Turut hadir menyaksikan detik menyentuh hati itu ialah Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Bertekad Belajar Semula, Mohon Sokongan Masyarakat

Selepas melafazkan ikrar taubat, Rohizayanti menegaskan komitmennya untuk kembali sepenuhnya ke landasan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau berikrar mahu membersihkan keluarganya daripada sebarang unsur amalan menyeleweng yang pernah berlaku sebelum ini.

Iklan

Bagi memastikan perkara sama tidak berulang, beliau berazam untuk mendalami ilmu agama dengan menghadiri kelas pengajian bertauliah demi membimbing keluarganya ke jalan yang betul. Beliau juga merendah diri merayu agar masyarakat sekeliling, keluarga terdekat dan pihak berkuasa agama sudi memantau serta memberi sokongan moral sepanjang proses pemulihan akidah ini berjalan.

Di hujung bicaranya, ibu ini menitipkan doa agar taubat nasuha yang dibuat diterima sepenuhnya, selain memohon agar pintu hidayah terus terbuka luas buat dirinya dan anak-anak.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan