Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

Dulu Dikecam Tak Cukup Islamik, Kini IFF Cecah 20 Tahun Martabatkan Fesyen Sopan

Pernah dikritik hebat pada awal penganjuran, Islamic Fashion Festival kini membuktikan ketahanannya apabila genap dua dekad memperjuangkan fesyen sopan di pentas dunia.

Dulu Dikecam Tak Cukup Islamik, Kini IFF Cecah 20 Tahun Martabatkan Fesyen Sopan
Gambar: gempak

Bukan senang nak kekalkan sesebuah acara fesyen selama dua dekad, lebih-lebih lagi bila membawa konsep yang sering mencetuskan perdebatan ramai. Itulah liku perjalanan yang dilalui pengasas Islamic Fashion Festival (IFF), YBM Dato’ Sri Raja Rezza Shah sejak mula memperkenalkan platform tersebut pada tahun 2006.

Ketika mula bertatih 20 tahun lalu, festival berteraskan fesyen Islamik masih dianggap asing di pentas peragaan. Malah, Rezza Shah yang kini berusia 65 tahun mengakui platform itu pernah dihujani kritikan hebat gara-gara rekaan busana yang ditampilkan didakwa sesetengah pihak sebagai tidak cukup Islamik.

Iklan

Falsafah 'Huruf Alif' & Pendekatan Berperingkat

Bagi Rezza Shah, cemuhan orang ramai langsung tidak mematahkan semangatnya. Beliau sedar bahawa usaha membawa mesej menutup aurat tidak boleh dipaksa secara drastik kepada semua orang.

Menerusi sidang media sempena ulang tahun ke-20 festival itu di Petaling Street baru-baru ini, beliau berkongsi falsafah menarik tentang pendekatan yang diambilnya sejak mula mengasaskan acara ini.

Menurutnya, proses mendidik masyarakat diibaratkan seperti memulakan langkah dengan huruf Alif, iaitu bermula dengan perkara asas dan mudah dahulu. Baginya, setiap individu berada pada tahap penghijrahan berbeza, dan fesyen sopan wajar diberi ruang berkembang tanpa terus menghakimi mereka yang belum bersedia menutup aurat secara menyeluruh.

Iklan

Dari Pentas Tempatan Ke Itali Dan Dubai

Berkat ketabahan mengekalkan identiti sambil bersikap fleksibel terhadap perubahan industri, usaha IFF akhirnya membuka mata dunia. Festival ini bukan sekadar bertahan, malah berjaya melangkah megah ke peringkat antarabangsa.

Sekitar 10 tahun lalu, Rezza Shah sendiri dijemput ke beberapa destinasi terkemuka luar negara seperti Itali dan Dubai, selain forum ekonomi antarabangsa bagi berkongsi peranan IFF dalam memartabatkan industri fesyen sopan di mata dunia.

Angkat Keunikan Budaya Peranakan Sempena 2 Dekad

Meraikan detik bersejarah dua dekad penganjurannya, IFF tampil dengan tema istimewa iaitu Peranakan The Golden Era.

Iklan

Menariknya, tema Peranakan ini tidak hanya terhad kepada pengaruh Baba dan Nyonya masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya turut membuka ruang kepada warisan budaya India dan Arab.

Rezza Shah memberi kebebasan penuh kepada para pereka untuk menterjemahkan tema berkenaan menerusi sentuhan kreativiti masing-masing, sama ada melalui perincian sulaman mahupun permainan warna.

Beliau turut menyentuh tentang evolusi busana kebaya hari ini yang didatangkan dalam pelbagai potongan moden. Menurutnya, potongan kebaya asal yang labuh sehingga ke kaki sebenarnya amat menepati konsep pakaian sopan yang diperjuangkan IFF sejak dahulu lagi.

Iklan

Himpun 30 Pereka Hebat Malaysia & Indonesia

Festival IFF Kuala Lumpur 2026 dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 21 sehingga 23 November ini. Acara gilang-gemilang tersebut bakal menghimpunkan seramai 30 pereka fesyen ternama dari Malaysia dan negara jiran, Indonesia.

Antara nama besar yang bakal memeriahkan pentas peragaan termasuklah Datuk Tom Abang Saufi, Calvin Thoo, Abu, Rizman Ruzaini, serta label Bawal Exclusive.

Bukan sekadar busana, pertunjukan fesyen ini turut mempersembahkan rekaan barang kemas, tudung dan beg tangan, di samping dihangatkan dengan persembahan lapan penyanyi termasuk Zehra Zamri, pemain biola dan tarian kebudayaan.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan