Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Elak Terkandas Banjir Ketika SPM, Calon Disaran Masuk Asrama Lebih Awal

KPM menyarankan calon SPM di kawasan berisiko banjir menginap di asrama lebih awal bagi mengelakkan gangguan perjalanan dan emosi ketika musim peperiksaan.

Elak Terkandas Banjir Ketika SPM, Calon Disaran Masuk Asrama Lebih Awal
Gambar: ohmymedia.cc

Musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selalunya hadir bersama pelbagai debaran. Namun bagi calon yang menetap di kawasan rendah atau kerap dinaiki air, kerisauan berganda memikirkan keselamatan jalan raya dan dewan peperiksaan. Memahami cabaran getir ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif membuka pintu asrama lebih awal untuk pelajar yang terjejas.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menasihatkan semua calon yang terlibat supaya segera memanfaatkan tawaran penginapan sementara ini. Langkah awal ini penting bagi memastikan mereka tidak berdepan detik cemas apabila jalan kampung mula terputus hubungan pada hari peperiksaan.

Iklan

Jangan Tunggu Air Naik Baru Bertindak

Pihak KPM telah pun mengenal pasti lokasi kampung dan laluan utama yang lazim ditenggelami air setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda. Datuk Dr Mohd Azam menegaskan, tindakan awal amat penting kerana mereka tidak mahu calon hanya mencari jalan keluar selepas banjir sudah mula buruk.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diarahkan merujuk data kawasan berisiko di negeri masing-masing. Langkah ini membolehkan pihak sekolah menyusun pergerakan pelajar ke sekolah berasrama terdekat yang mempunyai kemudahan mencukupi, sekali gus menjamin tumpuan mereka terhadap ulang kaji pelajaran tidak terganggu.

Makan Ditanggung KPM, Pilihan Tetap Di Tangan Ibu Bapa

Menariknya, inisiatif penempatan sementara ini dibuat mengikut pilihan ibu bapa dan calon sendiri tanpa sebarang paksaan. Sesi libat urus awal juga telah dijalankan bersama penjaga bagi menerangkan kemudahan yang disediakan.

Iklan

Bagi meringankan beban keluarga, kos makanan sepanjang calon menginap di asrama akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kementerian. Ini sekurang-kurangnya memberi ketenangan kepada ibu bapa mengenai kebajikan harian anak-anak sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Bagi calon yang memilih untuk terus berada di rumah, bantuan pergerakan tetap disediakan menerusi Operasi Payung dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Walau bagaimanapun, perjalanan meredah banjir disifatkan jauh lebih mencabar berbanding tinggal terus di asrama sekolah.

Musim Tengkuijuh Dijangka Berlarutan

Peperiksaan SPM 2026 mencatatkan seramai 420,879 calon berdaftar dan berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 Disember ini di 3,334 pusat peperiksaan seluruh tanah air. Cabaran cuaca kali ini bukan perkara kecil memandangkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan bahawa MTL dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

Iklan

Beberapa negeri yang berada dalam senarai berisiko tinggi mengalami banjir sepanjang tempoh peperiksaan termasuklah:

  • Kelantan
  • Terengganu
  • Kedah
  • Johor
  • Melaka
  • Negeri Sembilan

Persediaan awal ini diharap dapat memberi kelegaan kepada calon dan keluarga, seterusnya memastikan setiap pelajar dapat menduduki kertas peperiksaan dengan selamat dan tenang.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan