Siakap KeliLive · Auto-update
Kisah

Kasih Ibu Tiada Tandingan, Tapi Al-Quran Dedah Hari Ini Bikin Mereka Lupa Anak Sendiri

Kasih ibu memang tiada tandingan, namun al-Quran menggambarkan kedahsyatan hari kiamat mampu membuatkan seorang ibu terlupa bayi yang sedang disusuinya.

Sebut saja tentang pengorbanan seorang ibu, rasanya semua tahu betapa besarnya jiwa mereka. Sanggup menahan lapar, berjaga malam dan mengetepikan penat lelah semata-mata mahu melihat zuriat membesar dengan sempurna. Bagi seorang ibu yang sedang meriba bayinya, setiap rengekan kecil si anak pasti menjadi tumpuan utama.

Namun, pernahkah kita terbayang wujud satu peristiwa yang begitu menakutkan sehingga naluri keibuan yang paling erat ini boleh hilang sekelip mata?

Iklan

Gambaran Yang Menggetarkan Jiwa Dalam Surah Al-Hajj

Menerusi Surah al-Hajj ayat 2, Allah SWT merakamkan suasana huru-hara ketika kiamat melanda dengan perumpamaan yang sangat menyentuh hati. Ayat tersebut menggambarkan bahawa setiap ibu yang menyusukan akan terlupa anak yang sedang disusuinya, manakala wanita mengandung pula akan menggugurkan kandungan masing-masing.

Malah, manusia pada saat itu kelihatan seperti orang mabuk akibat azab yang teramat berat, sedangkan mereka sebenarnya tidak mabuk. Perkataan tadhhalu yang digunakan dalam ayat ini membawa maksud menjadi lalai, terkejut atau hilang tumpuan disebabkan rasa takut yang melampau terhadap apa yang sedang berlaku di hadapan mata.

Kenapa Hubungan Menyusu Jadi Ukuran?

Persoalannya, mengapakah al-Quran tidak sekadar menggambarkan kemusnahan fizikal seperti runtuhnya gunung-ganang, sebaliknya mengangkat situasi seorang ibu dan bayinya?

Iklan

Hakikatnya, waktu menyusukan bayi adalah kemuncak kepada kasih sayang dan kebergantungan seorang anak. Bayi kecil amat memerlukan ibu untuk makanan, perlindungan serta belaian, manakala naluri seorang ibu pula secara semula jadi akan melindungi anaknya walau dalam apa jua keadaan bahaya.

Apabila al-Quran menjelaskan bahawa perhatian ibu terhadap anak yang sedang disusuinya boleh terganggu, ia membuktikan kedahsyatan hari tersebut melangkaui akal dan kebiasaan fitrah manusia.

Muhasabah Penting Buat Ibu Bapa

Peringatan ini membawa mesej yang sangat mendalam buat kita di dunia. Hari ini, keluarga sering menjadi benteng paling selamat untuk berlindung. Namun, Surah al-Mukminun ayat 101 mengingatkan bahawa apabila sangkakala ditiup kelak, pertalian keluarga tidak lagi membawa sebarang kelebihan dan manusia tidak lagi sempat bertanyakan hal satu sama lain.

Iklan

Oleh itu, kasih sayang kepada anak-anak tidak wajar disempitkan kepada kemewahan duniawi semata-mata. Anak bukan sekadar dibesarkan untuk cemerlang dalam pelajaran atau memiliki kerjaya hebat, malah amanah mendidik rohani mereka jauh lebih besar.

Tanggungjawab membentuk keperibadian anak tidak boleh dilepaskan sepenuhnya kepada pihak sekolah atau pengasuh. Masa bersama anak di rumah perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memupuk asas solat, keimanan dan akhlak terpuji agar kasih sayang yang dibina di dunia ini dapat menjadi bekal kukuh menempuh alam akhirat.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan