Siakap KeliLive · Auto-update
Kisah

Dua Kali Bedah Mata & Ada 35 Cucu, Warga Emas 81 Tahun Berjaya Genggam PhD

Usia 81 tahun bukan halangan apabila seorang pesara guru agama berjaya menamatkan pengajian PhD tepat pada masanya di UMK walaupun berdepan pelbagai masalah kesihatan.

Dua Kali Bedah Mata & Ada 35 Cucu, Warga Emas 81 Tahun Berjaya Genggam PhD
Gambar: Harian Metro

Usia langsung bukan halangan untuk menimba ilmu. Kalau kita selalu dengar alasan sudah berumur atau sukar menghafal, kisah seorang warga emas dari Kelantan ini betul-betul membuka mata ramai orang.

Pada usia 81 tahun, Dr Abdul Ghani Muhamad membuktikan tiada apa yang mustahil apabila beliau berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tasawuf dan Tarekat. Lebih manis lagi, datuk kepada 35 cucu ini menamatkan pengajiannya tepat pada masa selama empat tahun di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Iklan

Bukan Laluan Mudah, Berdepan Pelbagai Masalah Kesihatan

Sepanjang empat tahun berhempas-pulas menyiapkan kajian, laluannya bukanlah mudah. Faktor kesihatan diri menjadi ujian paling besar buat pesara guru agama ini.

Beliau berdepan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, prostat dan saraf. Bukan itu sahaja, Dr Abdul Ghani turut terpaksa menjalani dua pembedahan mata sepanjang tempoh pengajiannya.

Selain masalah daya ingatan yang semakin merosot seiring usia, cabaran teknologi moden juga perlu diharungi. Beliau terpaksa membiasakan diri belajar komputer dan teknologi digital demi menyelesaikan urusan pengajian hariannya.

Iklan

Impian Zaman Muda Tertangguh Demi Keluarga

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pada usia emas begini baru beliau gigih menyambung pengajian ke peringkat tertinggi? Rupanya, menjejakkan kaki ke menara gading dengan tahap tertinggi adalah impian zaman mudanya yang terpaksa dipendam lama.

Dahulu, kekangan kewangan dan tanggungjawab membesarkan sembilan orang anak membataskan hasrat tersebut. Selepas anak-anak semuanya membesar dan berkeluarga, barulah beliau berpeluang merealisasikan cita-cita lama itu.

Sokongan padu daripada isteri tercinta, Che Norma Che Ismail yang berusia 79 tahun, bersama dorongan anak-anak dan cucu menjadi penguat semangat untuk beliau terus melangkah. Ketika majlis konvokesyen berlangsung, lebih 20 ahli keluarga hadir bersama-sama meraikan kejayaannya.

Iklan

Semangat Membara, Rancang Ambil PhD Kedua

Apa yang lebih mengagumkan, semangat cintakan ilmu warga emas yang tinggal di Bukit Marak ini nampaknya masih belum padam. Dinobatkan sebagai graduan PhD tertua di universiti berkenaan, beliau langsung tiada niat untuk berhenti menuntut ilmu.

Dr Abdul Ghani kini bersemangat mahu meneruskan satu lagi pengajian PhD dalam bidang agama di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan di UMK.

Kisah kejayaan ini wajar dijadikan suntikan semangat untuk kita semua. Jika seorang datuk berusia 81 tahun mampu melawan rasa sakit dan kekangan usia demi segulung ijazah, kita yang masih muda dan bertenaga ini sepatutnya malu untuk terus memberi pelbagai alasan.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan