Siakap KeliLive · Auto-update
Kisah

Kisah Orang Terakhir Masuk Syurga & Syafaat Terbesar Yang Ramai Terlepas Pandang

Pernahkah anda terfikir bagaimana nasib insan terakhir yang melangkah ke syurga? Kisah hadis sahih ini membuktikan betapa luasnya rahmat Allah buat hamba-Nya.

Kisah Orang Terakhir Masuk Syurga & Syafaat Terbesar Yang Ramai Terlepas Pandang
Gambar: Harian Metro

Bila berbicara tentang akhirat, kita selalu terbayang betapa dahsyatnya azab neraka dan begitu indahnya nikmat syurga. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana situasi apabila pintu neraka bakal ditutup dan siapa sebenarnya insan terakhir yang diselamatkan?

Kisah ini diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ia menceritakan detik penuh keinsafan mengenai rahmat Allah yang tiada tandingannya, khas buat mereka yang hampir berputus asa.

Iklan

Syafaat Terakhir Daripada Yang Maha Mengasihani

Menurut riwayat Abu Sa'id al-Khudri RA, pada hari pembalasan nanti, para malaikat, nabi dan orang-orang beriman akan selesai memberikan syafaat masing-masing kepada mereka yang berhak. Selepas itu, tiada lagi syafaat lain melainkan syafaat langsung daripada Allah SWT.

Allah kemudiannya mengeluarkan satu kumpulan manusia yang begitu ramai dari api neraka. Bayangkan, mereka ini langsung tidak pernah melakukan sebarang amalan kebaikan semasa di dunia dan keadaan fizikal mereka sudah pun rentung menjadi arang.

Mereka kemudian dimasukkan ke dalam sebatang sungai di hadapan pintu syurga yang dipanggil Sungai Kehidupan. Apabila mereka keluar, tubuh mereka berubah menjadi elok berseri seumpama mutiara, lengkap dengan tanda khas pada leher agar penghuni syurga lain kenal bahawa mereka adalah hamba yang dibebaskan terus oleh Allah.

Iklan

Bukan itu sahaja, Allah menghadiahkan keredaan yang kekal di mana Dia berjanji tidak akan murka lagi kepada mereka buat selama-lamanya.

Lelaki Yang Berkali-kali Mungkir Janji

Sementara itu, sahabat Nabi, Abu Hurairah RA pula berkongsi kisah seorang lelaki yang menjadi manusia terakhir melangkah ke syurga. Pada awalnya, wajah lelaki ini masih menghadap ke arah neraka sambil merayu kerana bahang dan baunya yang terlalu menyeksakan.

Dia memohon agar wajahnya dipalingkan dari neraka dan berjanji tidak akan meminta apa-apa lagi. Tetapi manusia tetaplah manusia, sebaik sahaja wajahnya dipalingkan dan terpandang keindahan pintu syurga, dia tidak tahan lalu merayu lagi agar didekatkan ke pintu tersebut.

Iklan

Walaupun Allah menegurnya kerana melanggar janji, lelaki itu tetap merayu tanpa henti. Kemuncaknya, apabila berdiri betul-betul di muka pintu syurga, dia terus merayu:

"Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikanku makhluk-Mu yang paling malang!"

Melihat kesungguhan dan rayuan hamba-Nya itu, Allah reda lalu membenarkannya masuk. Bahkan, lelaki tersebut diminta menyenaraikan apa sahaja impian dan keinginannya sehinggalah dia kehabisan idea untuk meminta. Lebih menakjubkan, Allah mengurniakan segala apa yang dihajatinya berlipat kali ganda.

Iklan

Rahmat Yang Mengatasi Kemurkaan

Kisah ini menjadi peringatan besar untuk kita semua. Walaupun kita sering terleka dan melakukan kesilapan, jangan sesekali berputus asa dengan keampunan Ilahi.

Pintu rahmat sentiasa terbuka luas selagi nyawa dikandung badan. Bersujudlah dan teruskan memohon belas kasihan daripada-Nya dalam setiap langkah kehidupan kita.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan