Risau Termakan Ayam Tak Sah Sembelih? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Ramai resah susulan isu rampasan ayam tak sah sembelih baru-baru ini. Mufti Pulau Pinang tampil jelaskan status hukum bagi mereka yang tidak sengaja termakan.

Isu ayam tak disembelih ikut syarak memang cukup sensitif dalam kalangan masyarakat kita. Mana tidaknya, sebaik sahaja timbul berita pihak berkuasa merampas kira-kira 6.5 tan bekalan ayam yang disyaki mati sebelum disembelih, ramai yang terus mula rasa gelisah dan tak sedap hati.
Rata-rata mula terfikir sama ada mereka pernah terbeli atau termakan ayam daripada bekalan terbabit. Paling merisaukan, ada yang bimbang kalau amalan serta ibadah yang dibuat selama ini tertolak begitu sahaja gara-gara termakan benda yang tidak halal.
Tak Perlu Bayar Kaffarah Atau Cuci Diri
Bagi meredakan kekeliruan orang ramai, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman tampil memberikan penjelasan terperinci. Menurut beliau, umat Islam yang pernah memakan ayam tidak halal tanpa mengetahui status sebenar makanan tersebut langsung tidak menanggung sebarang dosa.
Hukum itu tetap sama walaupun seseorang itu telah memakannya berulang kali dalam satu tempoh yang agak lama. Mereka juga tidak diwajibkan untuk membayar kaffarah, menggantikan semula makanan yang ditelan, apatah lagi melakukan ritual tertentu kononnya untuk menyucikan diri.
Beliau turut menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu risau bahawa seluruh tubuh badan akan menjadi haram atau ibadah terdahulu terbatal. Islam merupakan agama yang memudahkan dan tidak membebankan penganutnya untuk menyiasat semula setiap makanan yang sudah lama dimakan, terutamanya jika ia dibeli daripada sumber yang pada zahirnya diyakini halal.
Wajib Berhenti Bila Sudah Dapat Pengesahan
Walau bagaimanapun, situasinya berbeza sebaik sahaja seseorang itu mengetahui kebenaran. Jika sudah mendapat pengesahan rasmi bahawa sesuatu bekalan ayam itu memang tidak halal, umat Islam wajib berhenti daripada terus memakannya serta-merta.

Namun dalam masa yang sama, Dr Mohd Sukki mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat melatah. Jangan sesekali membuat kesimpulan melulu bahawa semua ayam yang pernah diproses oleh premis berkenaan sebelum ini adalah bangkai.
Perkara tersebut perlukan bukti kukuh daripada siasatan pihak berkuasa terlebih dahulu, dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membiarkan diri dibelenggu rasa was-was yang melampau terhadap apa yang telah berlaku.
Bangkai Tetap Bangkai Walau Dikelar Lehernya
Mengulas lanjut mengenai kaedah penyembelihan, beliau menjelaskan bahawa ayam yang mati akibat renjatan elektrik atau rendaman air panas sebelum disembelih secara automatik dikategorikan sebagai bangkai. Statusnya tetap haram untuk dimakan walaupun leher ayam berkenaan dipotong selepas itu.
Rentetan insiden ini, pengguna dan pemilik premis makanan diseru agar mengambil pengajaran besar. Jangan terlalu mudah mempercayai status halal sesuatu makanan hanya berdasarkan pengakuan mulut penjual atau sekadar menganggap ia sah kerana pemilik kedai beragama Islam.
Sebaiknya, utamakan pembelian daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang sah serta rekod sumber bekalan yang jelas. Peniaga restoran juga memikul amanah besar untuk memastikan setiap bahan mentah yang disajikan benar-benar mematuhi lunas syarak.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Had Umur Media Sosial 16 Tahun: Kenapa Mak Ayah Tak Boleh Ambil Mudah?
Anak nampak baik di depan mata, tapi di alam maya lain ceritanya. Ini sebab kenapa ibu bapa perlu bersiap sedia sebelum anak cecah usia 16 tahun.

Ridhwan Pasang Niat Hidupkan Semula Stadium Mini & Bina Masjid Baharu Di Ayer Molek
Calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berhasrat mengaktifkan semula Stadium Mini Ayer Molek dan membina masjid baharu demi kemudahan penduduk setempat.

Ayam Disyaki Direnjat Sampai Mati Sebelum Sembelih, MAIS Arah Premis Puchong Tutup
MAIS mengesyaki sebuah premis pemprosesan ayam di Puchong guna renjatan voltan tinggi hingga ayam mati sebelum disembelih dan diedar ke restoran.