Had Umur Media Sosial 16 Tahun: Kenapa Mak Ayah Tak Boleh Ambil Mudah?
Anak nampak baik di depan mata, tapi di alam maya lain ceritanya. Ini sebab kenapa ibu bapa perlu bersiap sedia sebelum anak cecah usia 16 tahun.

Bila anak mula merengek minta buat akaun TikTok atau Instagram sendiri, ramai ibu bapa mungkin rasa itu permintaan biasa. Maklumlah, kawan-kawan sebaya mereka di sekolah pun masing-masing sudah bebas memegang telefon pintar sendiri.
Namun, pandai meleret skrin dan memuat turun aplikasi tidak bermakna seorang anak itu sudah cukup bersedia menghadapi cabaran dunia maya. Ada bahaya besar yang menanti di sebalik skrin tanpa disedari keluarga.
Sifat Ingin Tahu Jadi Perangkap
Menurut Perunding Keselamatan Dan Pertahanan Diri Akademi KickStart, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, kanak-kanak bawah usia 16 tahun mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Apabila persoalan mereka tidak dijawab di rumah atau di sekolah, media sosial menjadi tempat utama untuk mencari jawapan.
Malangnya, di situlah bermulanya ruang bahaya. Kenaifan mereka sering diambil kesempatan oleh pemangsa siber yang pandai memujuk sehingga berlakunya pengantunan seksual atau grooming.

Lebih membimbangkan, ada kanak-kanak yang tergamak berkongsi malah menjual gambar serta video peribadi yang tidak senonoh kepada individu tidak dikenali yang mereka temui dalam talian.
Realiti Sebenar di Sebalik Skrin
Kebanyakan mak ayah sering meletakkan kepercayaan penuh kerana melihat tingkah laku anak yang begitu sopan di depan mata. Namun, Saiful Hamiruzzaman mendedahkan bahawa apa yang ditemui dalam perbualan telefon pintar mereka kadangkala sangat berbeza dan di luar jangkaan.
Anak yang disangka tidak tahu apa-apa mungkin sedang berinteraksi dengan pemangsa berniat jahat. Perkara ini bukan sekadar kebimbangan kosong, sebaliknya terbukti melalui rekod pihak berkuasa.
Operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak tahun 2024 telah merekodkan 117 tangkapan di 162 lokasi, dengan lebih 1.47 juta fail digital ditemui.
Menerusi Op Cyber Guardian 2026 sahaja, lebih 204,000 fail disahkan sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM). Manakala Ops Pedo 2.0 pada September 2025 menyaksikan tangkapan 31 individu termasuk enam orang kanak-kanak.

Had Umur 16 Tahun Bukan Jaminan Matang
Bermula 1 Jun 2026, platform media sosial berlesen di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) mewajibkan pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja untuk mendaftar akaun, manakala pengguna sedia ada akan melalui pengesahan umur berperingkat.
Walaupun peraturan baharu ini dikuatkuasakan, genap usia 16 tahun bukan tiket automatik bahawa seorang remaja itu sudah cukup matang untuk menjaga diri sendiri di alam maya.
Kematangan sebenar bergantung kepada cara mereka dibesarkan. Oleh sebab itu, tempoh sebelum usia 16 tahun sepatutnya menjadi masa penting untuk mak ayah membimbing dan memantau gerak-geri anak.
Langkah Penting Untuk Mak Ayah
- Manfaatkan aplikasi pemantauan (parenting apps) bagi mengawal aktiviti gajet anak.
- Bina ruang bual yang terbuka supaya anak tidak berasa takut untuk berkongsi masalah atau melaporkan mesej yang mencurigakan.
- Didik anak supaya faham bahawa orang yang kelihatan baik di media sosial belum tentu mempunyai niat jujur.
Mendidik generasi yang celik teknologi memerlukan komitmen berterusan daripada ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling. Jangan tunggu sehingga perkara buruk berlaku baru kita tergesa-gesa mahu memeriksa telefon anak.
Sumber: rotikaya
Baca juga

Risau Termakan Ayam Tak Sah Sembelih? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Ramai resah susulan isu rampasan ayam tak sah sembelih baru-baru ini. Mufti Pulau Pinang tampil jelaskan status hukum bagi mereka yang tidak sengaja termakan.

Ridhwan Pasang Niat Hidupkan Semula Stadium Mini & Bina Masjid Baharu Di Ayer Molek
Calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berhasrat mengaktifkan semula Stadium Mini Ayer Molek dan membina masjid baharu demi kemudahan penduduk setempat.

Ayam Disyaki Direnjat Sampai Mati Sebelum Sembelih, MAIS Arah Premis Puchong Tutup
MAIS mengesyaki sebuah premis pemprosesan ayam di Puchong guna renjatan voltan tinggi hingga ayam mati sebelum disembelih dan diedar ke restoran.