Sewa Asal RM3,000, 30 Peniaga Kecil Raih RM207,000 Di MotoGP Sepang
Peluang berniaga di acara sukan MotoGP selalunya mahal, namun 30 penjaja tempatan berjaya catat jualan RM207,000 dengan hanya bermodalkan lesen RM180.

Bila sebut fasal acara sukan bertaraf dunia seperti Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP), perkara pertama yang selalu berlegar dalam fikiran peniaga kecil mestilah modal tapak yang tinggi melangit. Mana tidaknya, dengan kehadiran ratusan ribu peminat sukan permotoran, kadar sewa gerai boleh mencecah sehingga RM3,000 untuk tempoh beberapa hari sahaja.
Namun, suasana berbeza dirasai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini. Seramai 30 peniaga tempatan tersenyum lebar apabila berjaya mengaut jualan keseluruhan mencecah RM207,000 sepanjang tiga hari perlumbaan berlangsung.
Hanya Perlu Bayar Lesen RM180
Apa yang menarik perhatian ramai, barisan peniaga ini langsung tidak terbeban dengan bayaran sewa tapak yang mahal. Mereka sebenarnya cuma perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM180 sahaja bagi bayaran lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Segala kos sewa ruang dan fasiliti perniagaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan melalui inisiatif program Litar Rasa MADANI anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Bukan setakat tapak percuma, para peniaga turut disediakan kelengkapan lengkap di lokasi seperti khemah, meja, kerusi, apron dan pakaian seragam bagi memastikan kos operasi mereka dapat dikurangkan ke tahap paling minimum.
Peluang Rezeki Buat Peniaga Kecil
Menterinya, Steven Sim Chee Keong memaklumkan bahawa usaha ini diteruskan bagi membuka ruang kepada peniaga kecil yang sering kali tercicir daripada acara berskala besar disebabkan kos logistik dan sewa yang terlalu tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa acara bertaraf antarabangsa memang menawarkan potensi jualan yang sangat lumayan kerana tumpuan pengunjung yang ramai. Dengan adanya bantuan sebegini, peniaga tidak perlu pening memikirkan modal sewa tapak dan sebaliknya boleh menumpukan perbelanjaan untuk menyediakan stok jualan yang mencukupi.

Sambutan yang diterima ternyata sangat memberangsangkan. Kawasan perniagaan yang terletak di zon K2 Hillstand SIC itu dilaporkan menerima kunjungan lebih 10,000 orang yang singgah membeli makanan serta minuman sepanjang acara.
Limpahan Acara Sukan Berprestij
Program di MotoGP ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Litar Rasa MADANI yang pernah diadakan sewaktu perlumbaan Formula Satu (F1) pada awal Oktober lalu. Konsep yang sama terbukti berkesan dalam membantu usahawan kecil merasai pulangan lumayan.
Bagi memeriahkan lagi suasana, pihak penganjur turut menyediakan Tiket MADANI berharga RM49.90 kepada pemegang MyKad untuk menonton perlumbaan dari kawasan berhampiran gerai jualan tersebut.
Secara keseluruhannya, perlumbaan MotoGP Malaysia 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November itu telah mencatatkan kehadiran lebih 196,000 penonton. Kehadiran ribuan peminat sukan permotoran ini membuktikan bahawa kejohanan sukan mega mampu memberi impak ekonomi secara terus kepada peniaga tempatan.
Sumber: rotikaya
Baca juga

598 Golongan VVIP Culas Bayar PERKESO Pekerja, Menteri Beri Tempoh Hingga 7 Disember
Seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk berkedudukan lebih tinggi daripada menteri dikesan gagal mencarum PERKESO untuk pekerja domestik mereka.

Isu Tajaan Carlsberg: Penganjur Hyrox KL 2026 Mohon Maaf, Sahkan Batal Kerjasama
Penganjur Hyrox Kuala Lumpur 2026 tampil memohon maaf dan mengesahkan tiada penajaan daripada syarikat minuman beralkohol selepas timbul rasa kurang senang ramai.

Mahkamah Rayuan Bebaskan Da'i Syed, Laporan Polis Lewat 441 Hari Antara Puncanya
Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Da'i Syed daripada sabitan rogol selepas mendapati wujud keraguan munasabah, termasuk tindakan pengadu lewat buat laporan polis.