Mahkamah Rayuan Bebaskan Da'i Syed, Laporan Polis Lewat 441 Hari Antara Puncanya
Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Da'i Syed daripada sabitan rogol selepas mendapati wujud keraguan munasabah, termasuk tindakan pengadu lewat buat laporan polis.

Satu perkembangan besar berlaku di Mahkamah Rayuan Putrajaya melibatkan pendakwah selebriti, Da'i Syed. Mahkamah akhirnya memutuskan untuk melepas dan membebaskan beliau daripada sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan merogol seorang wanita pada tahun 2019.
Keputusan tersebut dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah. Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa mahkamah terdahulu telah terkhilaf melampau dalam membuat dapatan fakta kes, sekali gus mewajarkan campur tangan dibuat.
Laporan Polis Dibuat Selepas 441 Hari
Antara perkara paling utama yang menjadi pertimbangan mahkamah adalah kelewatan pengadu membuat laporan polis. Laporan berkenaan hanya difailkan pada 25 November 2020, iaitu kira-kira 441 hari selepas kejadian yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam pada 11 September 2019.
Pihak pembelaan Da'i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, sebelum ini berhujah bahawa laporan itu hanya dibuat selepas hubungan komunikasi antara mereka berdua menjadi renggang dan kisahnya mula tular di media sosial.
Kelakuan Pengadu Sebelum Dan Selepas Kejadian
Pihak mahkamah turut meneliti secara terperinci gerak-geri dan kelakuan pengadu sepanjang tempoh berkenaan. Peguam bela menegaskan anak guamnya tidak pernah menafikan berlakunya hubungan kelamin, namun menegaskan perkara itu berlaku atas dasar kerelaan bersama.
Beberapa situasi dibangkitkan oleh pihak pembelaan bagi menyokong hujah tersebut:
- Pengadu mempunyai peluang untuk beredar atau meminta bantuan ketika mereka meluangkan masa makan di restoran selama kira-kira tiga jam.
- Pengadu berada sendirian di ruang tamu rumah selama kira-kira 30 minit semasa Syed membuat panggilan telefon, namun tidak membalas mesej atau panggilan rakan serumahnya.
- Tiada tanda-tanda mangsa cuba melarikan diri, menjerit meminta pertolongan, dan tiada sebarang kecederaan fizikal atau kesan kekasaran dikesan.
- Pengadu memilih untuk bermalam di rumah tersebut sebelum pulang keesokan harinya menaiki perkhidmatan e-hailing, malah sempat menghantar mesej memaklumkan dirinya sudah selamat tiba.
Bukan itu sahaja, rekod perbualan menerusi WhatsApp dan Instagram antara September hingga Disember 2019 menunjukkan pengadu kerap memulakan perbualan, memuji, serta mengajak pendakwah itu untuk berjumpa lagi.
Faktor Kesihatan Mental Tidak Boleh Nafi Kerelaan
Pihak pendakwaan sebelum ini berhujah bahawa kelewatan membuat laporan polis berpunca daripada keadaan emosi mangsa yang mengalami trauma serta sejarah kemurungan klinikal. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan faktor berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran automatik untuk menolak isu kerelaan.
Hakim menjelaskan bahawa elemen teras dalam kes tuduhan rogol adalah ketiadaan kerelaan. Memandangkan perbuatan persetubuhan diakui berlaku, beban utama pihak pendakwaan adalah membuktikan perbuatan itu benar-benar berlaku tanpa kerelaan mangsa melampaui keraguan munasabah.
Selepas meneliti semua rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, panel hakim berpuas hati bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, sekali gus membatalkan hukuman yang pernah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Rayuan Akhir Da’i Syed Hari Ini, Nasib Hukuman Penjara Bakal Terjawab
Keputusan rayuan akhir Da’i Syed terhadap sabitan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol bakal diputuskan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Mahkamah Rayuan Bebaskan Da'i Syed Daripada Hukuman Penjara 10 Tahun
Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan Da'i Syed daripada pertuduhan merogol, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Najib Dilapor Bayar Denda RM50 Juta Hari Ini Demi Tahanan Rumah
Wakil Datuk Seri Najib Razak dilaporkan hadir ke Kompleks Mahkamah KL untuk melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkan beliau jalani tahanan rumah.