Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Mahkamah Rayuan Bebaskan Da'i Syed Daripada Hukuman Penjara 10 Tahun

Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan Da'i Syed daripada pertuduhan merogol, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah Rayuan Bebaskan Da'i Syed Daripada Hukuman Penjara 10 Tahun
Gambar: gempak

Suasana di Mahkamah Rayuan Putrajaya bertukar hiba apabila pendakwah selebriti, Da'i Syed, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada tahun 2019. Keputusan itu sekali gus membatalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang pernah dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dilihat tidak mampu menahan sebak lalu menitiskan air mata di kandang tertuduh. Di galeri awam pula, isterinya, Hana Ismail, turut dilihat menangis sambil meraup wajahnya tanda rasa syukur yang amat mendalam.

Iklan

Keputusan Majoriti Panel Tiga Hakim

Keputusan berkenaan dicapai menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid. Walau bagaimanapun, seorang lagi panel iaitu Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid mempunyai pandangan berbeza dan menentang keputusan terbabit.

Ketika membacakan penghakiman, Datuk Azman menjelaskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Beliau menegaskan bahawa sabitan terhadap perayu didapati tidak selamat, lalu membenarkan rayuan dikemukakan oleh Syed dan mengetepikan terus hukuman penjara sedekad serta sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen terdahulu.

Iklan

Kronologi Panjang Sejak 2019

Perjalanan kes undang-undang ini sememangnya cukup panjang dan penuh liku sejak mula didedahkan kepada umum. Syed didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Beliau mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan pada 10 Disember 2020. Mengikut peruntukan undang-undang tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam pernah membebaskan Syed selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan beliau membela diri.

Iklan

Pernah Jalani Hukuman Penjara 21 Hari

Nasib Syed kembali diuji apabila Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024 memutuskan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan. Perintah menjalani hukuman serta-merta pada hari berkenaan menyaksikan Syed dihantar ke Penjara Kajang.

Selepas 21 hari berada di dalam penjara, Mahkamah Tinggi membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman dan Syed dibebaskan sementara menunggu proses rayuan utamanya selesai.

Dengan keputusan terbaharu di Mahkamah Rayuan ini, kemelut undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun akhirnya menemui titik noktah, menutup satu episod getir dalam hidup pendakwah muda berkenaan.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan