Isu Badal Haji Makin Panas, Kerajaan Rangka Garis Panduan Khas Bendung Scammer
Kerajaan melalui JAWHAR sedang memperincikan garis panduan perkhidmatan badal haji bagi membendung penipuan scammer yang mengambil kesempatan atas nama ibadah.

Bila tiba musim haji, mesti ada sahaja iklan di media sosial yang menawarkan pakej badal haji pada harga yang langsung tak masuk akal. Ada yang tawar serendah beberapa ratus ringgit, siap janjikan sijil dan cenderahati dari Tanah Suci.
Dek kerana bimbang orang ramai terus terjerat dengan muslihat pihak yang mengambil kesempatan atas nama ibadah, kerajaan kini tampil mengambil langkah lebih tegas. Satu garis panduan khusus bagi mengawal selia perkhidmatan badal haji sedang dirangka secara terperinci.
Kajian Garis Panduan Sedang Diteliti JAWHAR
Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli di Dewan Rakyat baru-baru ini. Menurut beliau, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sedang meneliti kebolehlaksanaan servis yang ditawarkan oleh syarikat mahupun individu persendirian.
Langkah ini diambil susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mahu pengurusan badal haji diperkemas sebaik mungkin. Isu ini timbul selepas dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai yang bertanyakan tindakan awal kerajaan dalam menyaring iklan-iklan meragukan sebelum ia tersebar meluas.
Syarat Ketat Arab Saudi & Hakikat Kos Sebenar
Ramai sebenarnya yang terlepas pandang bahawa kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan polisi 'La Hajja Bila Tasrih', iaitu larangan mengerjakan haji tanpa permit yang sah. Nak masuk dan tunaikan haji bukannya mudah atau murah, kerana ia melibatkan kos visa dan permit yang tinggi.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai mengenai peranan Lembaga Tabung Haji (TH), Marhamah menjelaskan satu hakikat penting yang mungkin ramai tak sedar. Tabung Haji sendiri sebenarnya tidak menawarkan sebarang servis badal haji kepada orang ramai.
Persoalannya, jika institusi rasmi seperti TH pun tidak menyediakan perkhidmatan itu atas faktor kekangan permit dan kos, bagaimana pula pihak luar boleh menawarkannya dengan begitu mudah dan murah?
Kerjasama Rentas Kementerian Banteras Penipu
Bagi memastikan penipuan ibadah ini tidak terus membarah, TH kini bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Sesi penerangan juga akan digiatkan melalui kempen media sosial, tazkirah di masjid serta siri jelajah ke seluruh negara.
Kepada orang ramai yang berhasrat mengupah badal haji untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia atau uzur, pastikan semakan rapi dibuat terlebih dahulu:
- Semak latar belakang pihak yang menawarkan perkhidmatan sama ada mempunyai kelayakan sah atau rekod mencurigakan.
- Kaji kewajaran harga yang ditawarkan kerana permit haji rasmi menelan belanja yang tinggi.
- Pastikan maklumat pemilik akaun bank penerima bayaran adalah sah dan bukan akaun pihak ketiga.
Jika ada terjumpa mana-mana tawaran yang meragukan atau berunsur penipuan, segera laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang. Niat kita nak buat amal ibadah untuk orang tersayang, jadi jangan biarkan wang titik peluh itu lesap ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Da’i Syed Bebas Tuduhan Rogol, Mahkamah Rayuan Ketepikan Hukuman Penjara 10 Tahun
Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol seorang wanita, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Nama Istana Bukan Barang Dagangan, Sultan Pahang Beri Amaran Keras Isu Cari Untung
Sultan Pahang memberi amaran tegas kepada kerabat dan orang besar agar tidak guna nama istana untuk cari untung atau campur tangan urusan pentadbiran.

Menjelang Sukan Para ASEAN 2027, IWK & Majlis Paralimpik Malaysia Bawa Misi Penting
IWK dan Majlis Paralimpik Malaysia berganding bahu memperkasakan komuniti OKU menerusi inisiatif #WeThe15 menjelang penganjuran Sukan Para ASEAN 2027.