Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Da’i Syed Bebas Tuduhan Rogol, Mahkamah Rayuan Ketepikan Hukuman Penjara 10 Tahun

Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol seorang wanita, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Da’i Syed Bebas Tuduhan Rogol, Mahkamah Rayuan Ketepikan Hukuman Penjara 10 Tahun
Gambar: OH! Media

Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful akhirnya boleh menarik nafas lega. Mahkamah Rayuan membuat keputusan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan merogol seorang wanita yang didakwa berlaku pada tahun 2019.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, suasana di dalam bilik mahkamah terus bertukar sayu dan penuh emosi. Da'i Syed yang berada di kandang tertuduh dilihat tidak dapat menahan air mata. Di galeri awam pula, isterinya, Hana Ismail turut menangis terharu mendengar keputusan tersebut selepas sekian lama melalui fasa sukar.

Iklan

Sabitan Terdahulu Diputuskan Tidak Selamat

Keputusan pembebasan ini dicapai menerusi majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan. Panel berkenaan diketuai oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, manakala Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid pula menyatakan pandangan tidak bersetuju.

Ketika membaca keputusan itu, Datuk Azman menjelaskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Disebabkan itu, panel hakim memutuskan sabitan terhadap Da'i Syed sebelum ini adalah tidak selamat untuk dikekalkan.

Dengan keputusan terbaharu ini, rayuan beliau dibenarkan sepenuhnya dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini rasmi diketepikan.

Iklan

Kronologi Panjang Kes Sejak 2019

Kes membabitkan personaliti ini sebenarnya sudah berlarutan agak lama dan melalui proses perundangan yang berliku. Da’i Syed sebelum ini dituduh merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan pada Disember 2020. Pada April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam pernah melepas dan membebaskannya kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Namun, pihak pendakwaan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi yang kemudiannya memerintahkan beliau membela diri. Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan.

Iklan

Pernah Jalani Hukuman 21 Hari Di Penjara Kajang

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu, beliau terus dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama. Beliau sempat menjalani hukuman selama 21 hari di sana sebelum Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan utama selesai.

Kini, keputusan panel Mahkamah Rayuan menoktahkan episod panjang perbicaraan ini, sekali gus memberi kelegaan besar buat Da'i Syed dan ahli keluarganya.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan