Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

598 Golongan VVIP Culas Bayar PERKESO Pekerja, Menteri Beri Tempoh Hingga 7 Disember

Seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk berkedudukan lebih tinggi daripada menteri dikesan gagal mencarum PERKESO untuk pekerja domestik mereka.

598 Golongan VVIP Culas Bayar PERKESO Pekerja, Menteri Beri Tempoh Hingga 7 Disember
Gambar: ohmymedia.cc

Bila bercakap tentang isu culas bayar caruman PERKESO, kita selalu bayangkan masalah ini cuma berlaku dalam kalangan syarikat kecil atau majikan biasa. Hakikatnya, individu yang berpangkat besar dan berstatus kenamaan pun ada yang buat tak tahu tentang tanggungjawab asas ini.

Perkara mengejutkan ini dibongkarkan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan. Beliau mendedahkan seramai 598 individu berprofil tinggi dan bertaraf VVIP dikenal pasti gagal membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja domestik di kediaman mereka.

Iklan

Ada Yang Berpangkat Lebih Tinggi Daripada Menteri

Pendedahan ini bukan perkara main-main. Menurut Ramanan, senarai individu yang culas ini bukan sekadar terdiri daripada Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), malah membabitkan mereka yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada seorang menteri.

Berdasarkan semakan rasmi setakat 1 November lalu, 598 individu ternama ini sebenarnya sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang masih belum menunaikan kewajipan mencarum. Pada masa yang sama, PERKESO turut mengesan sejumlah 26,669 majikan yang mempunyai rekod tunggakan bayaran caruman.

Ramanan menegaskan bahawa pengaruh, darjat atau pangkat sebesar mana pun langsung tidak memberi keistimewaan untuk sesiapa mengabaikan undang-undang majikan. Di mata undang-undang negara, tiada pengecualian untuk sesiapa kerana caruman berkenaan adalah hak mutlak pekerja.

Iklan

Siapa Sebenarnya Pekerja Domestik?

Mungkin ada majikan yang masih keliru atau sengaja buat-buat lupa tentang skop pekerja domestik. Pekerja domestik bukan hanya terhad kepada pembantu rumah yang memasak atau mencuci pakaian.

Takrifan pekerja domestik sebenarnya turut merangkumi beberapa tugas lain yang berkhidmat dalam sesebuah isi rumah, antaranya:

  • Pemandu peribadi
  • Tukang kebun
  • Pengasuh anak
  • Penjaga warga emas

Semua pekerja ini berhak mendapat perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan, kecederaan atau musibah ketika sedang menjalankan tugas harian mereka.

Iklan

Kata Dua Sebelum 7 Disember, Nama Bakal Didedahkan

Pihak kementerian nampaknya tidak bercadang untuk berlembut lagi dengan mana-mana pihak. Tarikh akhir telah ditetapkan pada 7 Disember ini untuk semua majikan terbabit tampil melunaskan tunggakan masing-masing.

Sekiranya masih berdegil selepas tarikh keramat tersebut, tindakan tegas undang-undang akan terus diambil. Ia bakal dimulakan dengan tindakan kompaun, disusuli pendakwaan yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000, penjara, atau kedua-duanya sekali. Lebih panas, nama majikan berprofil tinggi ini juga akan didedahkan terus kepada tatapan umum.

Peringatan tegas ini disampaikan selepas majlis penyerahan faedah PERKESO berjumlah RM174,000 kepada 16 waris mangsa tragedi bencana Nepal, satu bukti jelas betapa pentingnya jaringan keselamatan sosial buat kebajikan pekerja dan waris apabila tragedi menimpa.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan