Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

DBKL Bertindak Tegas: 323 Unit Rumah PPR & PA Dikosongkan Selepas Langgar Syarat

DBKL ambil tindakan tegas terhadap ratusan penyewa PA dan PPR yang culas bayar sewa dan langgar syarat demi memberi laluan kepada mereka yang benar-benar layak.

DBKL Bertindak Tegas: 323 Unit Rumah PPR & PA Dikosongkan Selepas Langgar Syarat
Gambar: Harian Metro

Isu rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota memang tak pernah reda. Ramai keluarga berpendapatan rendah terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya dengan harapan dapat menyewa kediaman mampu milik ini. Namun, hakikatnya kekosongan unit amat terhad berbanding jumlah mereka yang memohon.

Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuktikan mereka tidak lagi berkompromi dengan penyewa yang culas atau menyalahi peraturan. Langkah tegas ini diambil bagi memastikan kebajikan golongan yang benar-benar memerlukan dapat dibela.

Iklan

602 Unit Berdepan Tindakan Penguatkuasaan

Bagi tempoh Januari hingga akhir September lalu, DBKL sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 602 unit kediaman PA dan PPR di sekitar Kuala Lumpur. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 323 unit berjaya dikosongkan sepenuhnya hasil operasi yang dijalankan.

Unit yang dikosongkan ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Setakat ini, 193 unit sudah pun ditawarkan kepada pemohon baharu yang layak. Manakala baki 130 unit lagi kini berada dalam fasa penawaran secara berperingkat kepada 234 pemohon lain.

Kenapa Tindakan Pengosongan Dibuat?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan bahawa DBKL terpaksa mengambil pendekatan ini kerana jumlah unit sedia ada amat terhad. Penguatkuasaan tertumpu kepada penyewa yang mempunyai rekod tunggakan sewa yang tinggi, melanggar syarat perjanjian, serta mereka yang sebenarnya sudah tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan untuk menyewa di situ.

Iklan

Perkara tersebut dimaklumkan beliau melalui jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PAS - Arau) mengenai nasib ribuan pemohon yang masih berada dalam senarai menunggu perumahan awam di ibu kota.

Tiada Unit Tambahan, Tumpu Pemutihan Data

Menurut Hannah, DBKL pada masa ini tidak mempunyai perancangan untuk membina unit tambahan PA atau PPR. Sebaliknya, tumpuan penuh akan diberikan kepada pengoptimuman unit sedia ada menerusi proses 'pemutihan' data dan penyewa.

Langkah ini penting bagi menyaring semula senarai menunggu supaya hanya pemohon yang benar-benar aktif dan layak kekal di dalam rekod. Statistik menunjukkan cabaran besar yang dihadapi pihak berkuasa:

Iklan
  • Bagi tempoh 2024 hingga 2026, DBKL menerima sebanyak 4,395 permohonan.
  • Sebanyak 4,444 permohonan baharu dan rayuan telah dibawa ke Jawatankuasa Peruntukan Rumah Awam (JKPRA).
  • Untuk rekod tahun 2026 sahaja, daripada 1,372 permohonan yang diterima, hanya 427 pemohon didapati layak dan 193 daripadanya sudah menerima tawaran kediaman.

Secara keseluruhan, DBKL kini bertanggungjawab mengurus dan menyelia sebanyak 32,127 unit kediaman sewa PA dan PPR di seluruh Kuala Lumpur.

Beralih Kepada Rumah Mampu Milik

Memandangkan persaingan untuk mendapatkan unit PPR terlalu sengit, pemohon yang sudah mempunyai kemampuan kewangan lebih baik digalakkan beralih arah. Mereka disarankan memohon skim perumahan lain seperti Residensi Wilayah atau Residensi MADANI.

Langkah ini dilihat wajar supaya rumah PPR dan PA dapat terus difokuskan khusus kepada golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan tempat berteduh di tengah kota.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan