Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Bukan Sekadar Menyanyi, Jennie BLACKPINK Terlibat Cipta Lagu Filem Animasi Netflix 'Steps'

Jennie BLACKPINK melangkah setapak lagi dalam kariernya apabila mencipta dan menyanyikan lagu balada khas untuk filem animasi Netflix, Steps, yang bakal menemui penonton November ini.

Bukan Sekadar Menyanyi, Jennie BLACKPINK Terlibat Cipta Lagu Filem Animasi Netflix 'Steps'
Gambar: gempak

Siapa sangka, bintang K-Pop terkenal daripada kumpulan BLACKPINK, Jennie, kini melebarkan sayapnya ke dunia animasi antarabangsa. Kali ini, bukan sekadar meminjamkan vokal biasa, dia diberi kepercayaan besar untuk berkarya di belakang tabir.

Jennie disahkan mencipta dan menyanyikan lagu balada berjudul Someone to Hold untuk filem animasi terbaharu Netflix, Steps. Menariknya, ini merupakan projek pertama yang menyaksikan penglibatan Jennie dalam pembikinan runut bunyi bagi filem animasi.

Iklan

Lagu Balada Menyentuh Jiwa

Lagu berkenaan difahamkan bakal berkumandang dalam satu babak penting yang cukup meruntun emosi. Irama balada itu digubah khas bagi menggambarkan perhubungan erat antara watak-watak utama dalam jalan cerita animasi berkenaan.

Jennie sendiri mengakui proses menghasilkan karya tersebut memberi kepuasan tersendiri. Bintang itu berkongsi rasa gembiranya dapat menjadi sebahagian daripada projek ini, selain jatuh hati dengan keperibadian setiap watak yang dihidupkan dalam dunia animasi tersebut.

Gabungan Nama Hebat Antarabangsa

Bukan Jennie seorang yang memeriahkan album runut bunyi ini. Filem ini turut mengumpulkan barisan penyanyi berbakat lain seperti Rose Gray, Emei, dan pelakon terkenal Amanda Seyfried.

Iklan

Rose Gray menyumbangkan lagu Meet Me on the Dance Floor dan bekerjasama menulis lagu Smile and a Song yang dinyanyikan oleh Amanda Seyfried. Sementara itu, penyanyi Emei pula meluahkan rasa tersisih menerusi lagunya yang bertajuk Understudy.

Lebih membanggakan, skor muzik asal filem ini digubah oleh komposer pemenang Oscar, Kris Bowers. Rakaman muziknya juga bukan calang-calang kerana dijalankan di Abbey Road Studios, London.

Kisah Berbeza Adik-Beradik Tiri Cinderella

Filem Steps membawa kelainan apabila memfokuskan kepada dua watak adik-beradik tiri Cinderella, Lilith dan Margot. Disuarakan oleh Ali Wong dan Stephanie Hsu, dua beradik ini sebenarnya sudah bosan sering dipandang serong dan hidup di bawah bayangan Cinderella.

Iklan

Kekacauan mula berlaku apabila Lilith bertindak mencuri tongkat sakti Fairy Godmother sehingga menjejaskan majlis tari-menari istana. Keadaan menjadi semakin tegang apabila watak jahat bernama Priscilla cuba mengambil kesempatan untuk menawan kerajaan.

Mahu tidak mahu, Lilith akhirnya terpaksa mengetepikan perselisihan faham dan bekerjasama dengan Cinderella demi menyelamatkan seluruh kerajaan daripada ancaman bahaya.

Karya arahan Alyce Tzue dan John Ripa ini turut membariskan bintang terkenal seperti Daniel Radcliffe, Bette Midler, Peter Dinklage, Young Mazino, serta bintang WWE, Damian Priest. Filem Steps bersama album runut bunyinya akan dilancarkan serentak di Netflix pada 20 November ini.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan