Tabung Haji Rugi RM13 Bilion, Rupanya Ini Punca Sebenar Yang Berlaku
Kementerian Kewangan memperincikan kerugian RM13 bilion Tabung Haji yang berpunca daripada dua komponen utama termasuk isu pelaburan lama.

Bila sebut fasal Lembaga Tabung Haji (TH), memang sensitif bagi orang kita. Maklumlah, tempat kebanyakan kita kumpul duit bertahun-tahun semata-mata berniat nak jejak kaki ke Tanah Suci. Jadi, bila keluar angka kerugian mencecah RM13 bilion, ramai yang terus tersentak dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi.
Bagi menjawab persoalan yang berlegar di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan tampil memperincikan pecahan kerugian besar ini. Rupanya, jumlah RM13 bilion ini tidak berlaku secara mengejut, sebaliknya melibatkan dua komponen utama yang berpunca daripada urus niaga terdahulu.
Dua Komponen Utama Kerugian RM13 Bilion
Komponen pertama membabitkan sejumlah RM10.2 bilion. Angka ini merupakan premium pemindahan aset kurang berdaya saing milik TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sekitar tahun 2018. Pada waktu itu, aset berkenaan dipindahkan dengan nilai RM19.9 bilion walaupun nilai pasarannya hanyalah sekitar RM9.7 bilion.
Baki RM2.8 bilion lagi adalah anggaran kerugian bersih bagi pelaburan yang masih kekal di bawah pengurusan TH sendiri bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Tujuh Pelaburan Yang 'Hangus' Sepenuhnya
Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebanyak 14 pelaburan TH didapati bermasalah. Apa yang mengejutkan, tujuh daripada pelaburan tersebut mengalami kerugian sepenuhnya dan telah pun dirosot nilaikan, membabitkan jumlah keseluruhan RM2.58 bilion.
Antara pelaburan yang mencatatkan kerugian penuh ini termasuk:
- Al-Rawda Real Estates: RM1.86 bilion (kerugian terbesar)
- Trurich Resources Sdn Bhd: RM364.31 juta
- TH Marine Holding (L) Inc: RM198.10 juta (rosot nilai sebahagian)
- Putrajaya Perdana Berhad (PPB): RM193.49 juta
- Al-Fareeda Residential Fund: RM82 juta
- Abraj Sdn Bhd: RM40.23 juta
- Emrail Sdn Bhd: RM19.3 juta
- Wellspring Worldwide Ltd: RM18.4 juta
Tatakelola Lemah Beri Kelebihan Kepada Pihak Lain
Selain tujuh pelaburan di atas, enam lagi pelaburan bermasalah lain turut membabitkan nama besar seperti PT TH Indo Plantations, Deru Semangat Sdn Bhd, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd, TH Hotel & Residences Sdn Bhd dan saham FGV Holdings Berhad.
Pihak kementerian menjelaskan, punca utama semua ini berlaku disebabkan kelemahan tatakelola yang sangat serius pada masa lampau. Wujud urus niaga cacat yang seolah-olah membelakangkan kepentingan pendeposit biasa demi memberi kelebihan kepada pihak lain yang berurus niaga dengan agensi itu.
Usaha Selamatkan Semula Duit Pendeposit
Kerajaan menegaskan pelbagai langkah pemulihan sedang giat dijalankan bagi mendapatkan semula wang pendeposit. Sebahagian pelaburan berkenaan sudah pun berjaya dipulihkan, manakala yang lain masih dalam proses tindakan susulan.
Bagi memastikan pisang tidak berbuah dua kali, pengurusan risiko dan tadbir urus pelaburan kini diperketatkan secara telus, termasuk rancangan untuk meminda Akta Tabung Haji 1955. Diharapkan langkah tegas ini mampu membina semula kepercayaan orang ramai terhadap institusi penting ini.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Isu Najib Lewat 4 Hari Jalani Tahanan Rumah, Wakil BN Gesa Siasat Tindakan Peguam Negara
Wakil rakyat BN menggesa penilaian bebas dan menuntut Peguam Negara direhatkan susulan kelewatan empat hari pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Isteri Warga Asing Boleh Dapat Caruman i-Sayang KWSP? Ini Jawapan Kerajaan
Kerajaan kini meneliti cadangan membenarkan suami warganegara membuat caruman skim i-Sayang KWSP kepada isteri bukan warganegara demi perlindungan masa depan.

Isu Tahanan Rumah Najib Jadi Modal Undi? Tok Mat Tampil Beri Peringatan Tegas
Tok Mat mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak memanipulasi isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai modal meraih undi pada PRN Melaka.