Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Isu Najib Lewat 4 Hari Jalani Tahanan Rumah, Wakil BN Gesa Siasat Tindakan Peguam Negara

Wakil rakyat BN menggesa penilaian bebas dan menuntut Peguam Negara direhatkan susulan kelewatan empat hari pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Isu Najib Lewat 4 Hari Jalani Tahanan Rumah, Wakil BN Gesa Siasat Tindakan Peguam Negara
Gambar: ohmymedia.cc

Isu pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya masih belum reda sepenuhnya. Walaupun beliau sudah pun dipindahkan ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada Selasa malam, timbul pula persoalan panas mengenai proses di sebalik tabir yang mencetuskan pertikaian.

Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kini tampil bersuara dan mendesak agar satu siasatan atau penilaian bebas dilakukan. Tumpuan mereka terarah kepada cara Jabatan Peguam Negara (AGC) mengendalikan proses berkenaan.

Iklan

Kelewatan 4 Hari Yang Menjadi Tanda Tanya

Pengerusi Sekretariat Ahli Parlimen BN merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menegaskan bahawa perpindahan Najib ke rumahnya tidak memadamkan tanda tanya mengenai apa yang berlaku antara 6 hingga 10 November lalu.

Menurut beliau, denda sebanyak RM50 juta telah pun dilunaskan sepenuhnya dan Perintah Pelepasan sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah sejak 6 November. Namun, pelaksanaannya tertangguh selama empat hari sebelum Najib akhirnya dibawa keluar dari Penjara Kajang.

"Rakyat berhak mengetahui apa yang berubah, bila masalah dikenal pasti dan mengapa penyelesaiannya mengambil masa sehingga 10 November," jelas beliau pada satu sidang media di Bangunan Parlimen.

Iklan

Persoal Tindakan Pejabat Peguam Negara

Pihak BN mempersoalkan alasan penangguhan sebelum ini yang dikatakan berpunca daripada kekaburan serta implikasi undang-undang. Persoalannya, jika kekaburan itu wujud, mengapa ia tiba-tiba boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa hari sahaja?

Manndzri turut membangkitkan beberapa persoalan penting yang dirasakan wajar dijelaskan kepada umum:

  • Mengapa AGC tidak mengambil inisiatif membetulkan dokumen atau mengeluarkan waran baharu lebih awal sekiranya terdapat kesilapan teknikal?
  • Atas dasar apa Peguam Negara didakwa bertindak secara sendirian mengarahkan Najib kekal di Penjara Kajang sedangkan warta kerajaan dan perintah mahkamah sudah tersedia?
  • Adakah sebarang isu tafsiran undang-undang ini pernah dibangkitkan sewaktu pertimbangan Lembaga Pengampunan pada September lalu?

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin sebelum ini membatalkan perintah pelepasan awal dan menggantikannya dengan perintah baharu bagi membolehkan tahanan rumah dilaksanakan serta-merta. Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah mengeluarkan warta rasmi di bawah Akta Penjara 1995 untuk menetapkan kediaman berkenaan sebagai lokasi tahanan sah.

Iklan

Tuntutan Rehatkan Peguam Negara

Bagi memastikan ketelusan, Sekretariat Ahli Parlimen BN mengekalkan desakan supaya Peguam Negara direhatkan buat sementara waktu melalui proses yang sah. Langkah ini dianggap penting bagi memberi laluan kepada sebuah badan bebas menyemak keseluruhan pengendalian kes tanpa berat sebelah.

Najib kini sedang menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. Namun bagi wakil rakyat BN, isu kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam menguruskan prosedur perundangan tetap perlu dijawab secara telus.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan