Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Scammer Luar Negara Jangan Selesa, Malaysia Kini Boleh Heret Pelaku Ke Mahkamah

Pelaku jenayah siber luar negara kini tidak lagi bebas apabila undang-undang baharu membenarkan mereka didakwa dan diekstradisi ke Malaysia jika mangsanya rakyat tempatan.

Scammer Luar Negara Jangan Selesa, Malaysia Kini Boleh Heret Pelaku Ke Mahkamah
Gambar: Harian Metro

Lepas ini mana-mana sindiket penipuan atau penjenayah siber yang berpangkalan di luar negara sudah tidak boleh menarik nafas lega. Kalau selama ini mereka berasa kebal kerana berada beribu batu jauhnya, undang-undang negara kini semakin rapat mengejar mereka.

Tindakan undang-undang kini boleh diambil terhadap mana-mana pelaku jenayah siber di luar negara sekiranya jenayah yang dilakukan itu menyasarkan sistem di Malaysia atau melibatkan mangsa warga tempatan. Tiada lagi istilah zon selamat buat mereka yang cuba mengaut keuntungan haram atas kesusahan orang lain.

Iklan

Boleh Didakwa Dan Diekstradisi Ke Malaysia

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan daripada Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyakan mengenai kerangka undang-undang menangani penipuan moden berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, ketetapan ini terkandung dalam Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026. Kerajaan akan memanfaatkan mekanisme kerjasama antarabangsa sedia ada untuk menyiasat pelaku, mendakwa mereka, dan seterusnya mengekstradisi mereka pulang ke Malaysia sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

Langkah ini diambil memandangkan jenayah alam maya sememangnya bersifat merentasi sempadan dan tidak mengenal batas geografi.

Iklan

Ganti Akta Lapuk, Jerat Penyamaran 'Deepfake'

RUU Jenayah Siber 2026 yang telah diluluskan Parlimen pada Julai lalu sebenarnya digubal khusus untuk menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997. Akta lama itu dilihat tidak lagi mampu mengejar kelicikan sindiket yang kini gemar menggunakan teknologi canggih.

Antara tumpuan utama undang-undang baharu ini adalah Fasal 23 yang memperluas skop jenayah penyamaran digital menggunakan sistem komputer. Perkembangan teknologi deepfake hari ini makin menakutkan apabila ia boleh meniru suara, imej, dan video sesiapa sahaja sehingga sukar dibezakan dengan yang asli untuk tujuan memperdaya orang ramai.

Bukti Digital Dipantau Laju, Harta Boleh Disekat

Bagi memastikan pihak berkuasa tidak ketinggalan di belakang sindiket, Fasal 38 hingga 41 memberi kuasa khas penyiasatan yang merangkumi pemeliharaan data, penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi. Kuasa ini penting kerana bukti alam maya sangat mudah dipadam, diubah suai, atau dipindahkan ke pelayan lain dalam sekelip mata.

Iklan

Selain itu, nasib mangsa turut diberi perhatian serius menerusi Fasal 54. Mahkamah kini mempunyai kuasa untuk mengeluarkan beberapa perintah penting, antaranya:

  • Perintah pemberhentian aktiviti jenayah dengan serta-merta.
  • Perintah sekatan harta bagi menghalang wang mangsa daripada dilesapkan oleh sindiket ke akaun lain.
  • Perintah restitusi untuk memulangkan semula wang atau aset kepada mangsa yang teraniaya.

Menariknya, perintah perlindungan mangsa ini boleh dikeluarkan atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai diberi kuasa, tidak kira sama ada suspek berkenaan sudah sempat didakwa di mahkamah ataupun belum.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan