Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Peram Lagu Hampir 9 Tahun, Haiza Akhirnya Lancar Single Baharu 'Pencuri'

Disimpan rapi sejak 2017, Haiza akhirnya melancarkan single terbaharu ciptaan Aepul Roza berjudul Pencuri yang menampilkan kelainan genre muzik.

Peram Lagu Hampir 9 Tahun, Haiza Akhirnya Lancar Single Baharu 'Pencuri'
Gambar: gempak

Bukan senang nak simpan satu karya seni begitu lama, tapi itulah yang dilakukan oleh penyanyi dan penyampai radio terkenal, Haiza. Selepas hampir sembilan tahun 'diperam' tanpa pengetahuan peminat, single terbaharu beliau yang berjudul Pencuri akhirnya dilancarkan secara rasmi.

Karya tersebut sebenarnya sudah dirakam sejak tahun 2017 lagi. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer dan penyanyi berbakat, Aepul Roza, selepas kedua-dua mereka digandingkan bersama dalam program Duo Star terbitan Astro suatu ketika dahulu.

Iklan

Sebab Tertangguh Hampir Sembilan Tahun

Bercerita lanjut, Haiza menjelaskan idea untuk menghasilkan karya berkenaan timbul apabila dia sendiri meminta Aepul mencipta sebuah naskhah baharu selepas program TV tersebut tamat. Namun, pelbagai kekangan timbul sehingga perancangan pelancarannya terpaksa ditunda berkali-kali.

Jadual kerja yang padat dengan pelbagai komitmen lain, ditambah pula dengan fasa pandemik melanda negara, membuatkan pelan lagu ini terbantut. Hanya pada tahun 2023 perancangan mula disusun semula sebelum Haiza membuat keputusan bahawa tahun ini adalah masa paling sesuai untuk memperdengarkannya kepada umum.

Asalnya Tiada Tajuk, Rakaman Siap Bawah 3 Jam

Menariknya, lagu ini pada asalnya langsung tidak mempunyai tajuk rasmi. Haiza berkata, selepas mendengar berulang kali, perkataan Pencuri dirasakan paling tepat kerana ia membawakan konsep santai dan tidak memenatkan pendengar.

Iklan

Walaupun vokal berjaya dirakamkan dalam tempoh tidak sampai tiga jam, Aepul disifatkan sangat teliti dari segi sebutan lirik. Haiza yang sudah biasa dengan lagu rancak ditegur agar menyebut setiap patah perkataan dengan jelas, contohnya perkataan 'saat' agar tidak disalah dengar sebagai perkataan lain.

Tampil Irama 'Hipdut' dan Gandingan Ropie

Dari segi susunan irama, lagu ini mengetengahkan gabungan bunyi pop-elektronik bersama elemen dangdut moden atau dikenali sebagai hipdut. Liriknya pula menyentuh perasaan seseorang yang jatuh cinta pandang pertama sehingga hati rasa tidak keruan selepas 'dicuri'.

Bagi muzik video pula, pelakon dan pelawak Ropie dipilih memegang watak utama lelaki kerana hubungan persahabatan mereka yang sudah lama terjalin, selain sikapnya yang sangat berdisiplin di set penggambaran.

  • Muzik video ini membawa kesinambungan cerita daripada lagu terdahulu Haiza, Young & Gentleman.
  • Mengangkat tema jalan cerita 'Siapa Dia Sebelum Dia'.
  • Kini boleh didengar di platform penstriman digital, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan