Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Pesan Sultan Pahang: Jangan Jadi 'Kaduk Naik Junjung', Lantang Tak Bererti Bijak

Sultan Pahang menitipkan pesanan mendalam kepada rakyat khususnya anak muda agar menghargai kebebasan dan tidak bersikap biadab atau lupa asal usul.

Pesan Sultan Pahang: Jangan Jadi 'Kaduk Naik Junjung', Lantang Tak Bererti Bijak
Gambar: ohmymedia.cc

Zaman sekarang, meluahkan pendapat atau berkongsi pandangan memang cukup mudah di hujung jari. Namun, apabila ruang bersuara itu disalah guna, ada segelintir yang mula mengetepikan batas adab serta asas kenegaraan yang telah lama dibina.

Perkara ini mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang tampil menitipkan pesanan berharga buat seluruh lapisan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal memimpin masa depan.

Iklan

Beri Peringatan Jangan Lupa Asal Usul

Ketika berkenan bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ke-23 Sesi Pertama, baginda mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap seperti peribahasa 'kaduk naik junjung'.

Baginda bertitah, apabila seseorang itu diberikan ruang dan kebebasan, janganlah semakin meninggi diri sehingga terlupa akar tempat berpaut. Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini adalah hasil jerih payah serta kebijaksanaan generasi terdahulu yang tidak wajar dihancurkan begitu sahaja.

Malah, baginda menegaskan bahawa kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati, dan keberanian sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk berlaku biadab terhadap institusi serta warisan negara.

Iklan

Lantang Bersuara Bukan Bererti Anda Bijak

Satu teguran baginda yang wajar dijadikan renungan bersama adalah mengenai sikap segelintir individu yang gemar mencipta kontroversi atas nama kebebasan bersuara. Baginda mengingatkan bahawa kelantangan atau tabiat suka mempertikaikan sesuatu perkara tidak membuktikan seseorang itu cerdik.

Baginda menjelaskan bahawa tidak semua individu yang melawan arus itu boleh dianggap sebagai pejuang sejati. Begitu juga dengan mereka yang lantang berbicara, belum tentu apa yang disuarakan itu benar atau membawa kebaikan.

Tegur Biar Berhemah dan Berpandukan Fakta

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa berbeza pendapat mahupun memberi teguran tidak pernah dianggap sebagai satu kesalahan. Namun, ia mestilah disampaikan secara berhemah serta bersandarkan fakta yang tepat, bukan sekadar emosi atau tuduhan melulu.

Iklan

Kepada para mahasiswa, baginda berpesan agar mereka tidak hanya mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata. Sebaliknya, golongan terpelajar ini digesa memahami kepentingan mempertahankan kedaulatan, menghormati institusi negara, dan terus memperkukuh hubungan sesama masyarakat.

Pada masa sama, baginda menyeru agar masyarakat sentiasa menggunakan hati nurani untuk mendamaikan dan merapatkan ukhuwah, bukannya meruntuhkan perpaduan serta menyemarakkan persengketaan antara satu sama lain.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan