Impian Kahwin Musnah Ditipu Pakej Murah, Polis Jasin Kini Buru Wanita Berusia 26 Tahun
Impian naik pelamin bertukar mimpi ngeri selepas 15 individu rugi lebih RM27,000 akibat ditipu pakej perkahwinan di Jasin. Polis kini giat mengesan seorang wanita.

Bila sebut fasal kahwin, mestilah setiap pasangan impikan majlis yang indah dan berjalan lancar. Maklumlah, hari bahagia sekali seumur hidup. Tapi lain pula jadinya bila perancangan yang dibuat dengan penuh teruja bertukar menjadi mimpi ngeri gara-gara pakej perkahwinan yang ditawarkan rupa-rupanya sekadar janji manis.
Terbaharu, pihak polis di Jasin, Melaka sedang giat mengesan seorang wanita tempatan yang dipercayai ada kaitan dengan beberapa siri kes penipuan pakej perkahwinan di daerah berkenaan.
15 Mangsa Tampil Buat Laporan Dalam Dua Hari
Isu ini mula mendapat perhatian ramai apabila sebanyak 15 laporan polis diterima hanya dalam tempoh dua hari, iaitu antara 19 hingga 20 April yang lalu. Bayangkan perasaan bakal pengantin yang sudah bersiap sedia dan menaruh harapan tinggi, tiba-tiba sedar diri mereka telah diperdaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh kesemua mangsa terlibat mencecah sebanyak RM27,490. Kesemua mangsa mendakwa telah membuat bayaran bagi mendapatkan pakej majlis yang dijanjikan sebelum menyedari mereka ditipu.
Polis Buru Wanita Berusia 26 Tahun
Bagi membantu siasatan lanjut, pihak berkuasa kini sedang mencari seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai Nurul Afza Shazlan, berusia 26 tahun. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Pihak polis turut meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan wanita tersebut supaya tampil membantu pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Khairul Jalaluddin di talian 013-2793799 atau dengan hadir sendiri ke mana-mana balai polis yang berhampiran.
Pengajaran Penting Buat Bakal Pengantin
Kejadian seperti ini bukanlah kali pertama berlaku, namun ia wajar dijadikan peringatan berguna untuk kita semua, terutamanya buat pasangan yang sedang sibuk membuat persiapan majlis. Jangan sesekali mudah gelap mata dengan tawaran harga pakej yang terlalu murah atau tidak masuk akal.
Ada beberapa langkah penting yang boleh diambil untuk elak diri daripada terkena jerat penipuan pakej kahwin:
- Semak latar belakang penyedia servis: Pastikan perniagaan mereka berdaftar secara sah dengan SSM dan semak ulasan jujur daripada pelanggan terdahulu.
- Elak bayar ke akaun peribadi: Urusan transaksi sepatutnya dimasukkan terus ke akaun rasmi syarikat, bukan ke akaun akaun bank atas nama individu yang meragukan.
- Minta perjanjian bertulis: Pastikan setiap perincian seperti pelamin, katering dan jurugambar disenaraikan dengan jelas lengkap dengan resit rasmi.
- Jangan bayar penuh terlalu awal: Elakkan daripada melunaskan semua bayaran jika majlis masih lambat, serta berwaspada dengan taktik 'promosi slot terhad' yang mendesak anda membuat bayaran segera.
Bagi sesiapa yang mungkin pernah terpedaya dengan situasi seperti ini, jangan berlengah untuk buat laporan polis atau segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 agar tindakan pantas dapat diambil.
Sumber: OH! Media
Baca juga

Pesan Sultan Pahang: Jangan Jadi 'Kaduk Naik Junjung', Lantang Tak Bererti Bijak
Sultan Pahang menitipkan pesanan mendalam kepada rakyat khususnya anak muda agar menghargai kebebasan dan tidak bersikap biadab atau lupa asal usul.

Dua Beradik Terkorban Dalam Kebakaran Di Sik, Hati Ibu Remuk Sekelip Mata
Kepulangan seorang ibu muda ke kampung halaman bertukar tragedi hitam apabila dua orang anaknya maut dalam kebakaran awal pagi di Kampung Teloi Tua, Sik.

SUHAKAM Gesa Henti Hantar Pulang Pelarian Myanmar, Keselamatan Masih Belum Terjamin
SUHAKAM menggesa kerajaan menghentikan penghantaran pulang pelarian dan pemohon suaka ke Myanmar susulan keputusan ICJ berhubung isu genosid.