Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Treler Takluk 2 Cecah Sejuta Tontonan, Peminat Tak Sabar Serbu Pawagam

Treler Takluk 2: Op Daulat raih sejuta tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan, cetus rasa teruja peminat filem aksi tempatan.

Treler Takluk 2 Cecah Sejuta Tontonan, Peminat Tak Sabar Serbu Pawagam
Gambar: gempak

Demam filem aksi ketenteraan nampaknya kembali melanda peminat filem tempatan. Selepas kejayaan filem terdahulu, naskhah kesinambungan berjudul Takluk 2: Op Daulat kini mencuri tumpuan ramai apabila treler rasminya berjaya mencatatkan lebih satu juta tontonan di saluran YouTube Golden Screen Cinemas (GSC) dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik.

Visual Padu, Ramai Akui Rasa Meremang

Menjengah ke ruangan komen video treler berkenaan, rata-rata warganet meluahkan rasa tidak sabar untuk menyaksikan pertempuran sengit di layar perak. Ramai yang memuji kualiti visual serta pengolahan warna yang ditampilkan, menyifatkannya kelihatan sangat kemas dan bertaraf antarabangsa.

Iklan

Selain aksi tembak-menembak yang mendebarkan, penonton turut meletakkan harapan tinggi terhadap babak membabitkan aset ketenteraan udara seperti jet pejuang. Ramai mahu melihat pertempuran udara digarap dengan mantap dan realistik agar mampu memberi impak maksimum kepada penonton di pawagam kelak.

Bukan itu sahaja, warganet turut menyeru orang ramai agar beramai-ramai turun ke pawagam bagi memberikan sokongan padu terhadap karya tempatan yang mengangkat martabat pejuang tanah air.

Kisah Pengorbanan Sebenar Di Lahad Datu

Untuk info, naskhah ini merupakan kesinambungan kepada filem Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada peristiwa hitam pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013.

Iklan

Fokus penceritaan kali ini mengangkat operasi khas Ops Daulat serta memaparkan kecekalan anggota pasukan keselamatan yang sanggup menggadaikan nyawa di medan tempur demi mempertahankan setiap inci kedaulatan negara tercinta.

Barisan Pelakon Hebat Bakal Beraksi

Filem berskala besar ini menampilkan barisan pelakon handalan tanah air antaranya:

  • Syafiq Kyle
  • Datuk Remy Ishak
  • Kamal Adli
  • Datuk Eman Manan
  • Fadlan Hazim
  • Nas-T
  • Luqman Hafidz
  • Taufiq Hanafi
  • Sara Ali

Bagi yang sudah bersiap sedia untuk merasai debaran dan semangat patriotik ini, Takluk 2: Op Daulat bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 26 November ini.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan