Manifesto Bersama BN-PN: Bantuan Kahwin & Bil Air Percuma Ditawarkan Buat Rakyat Melaka
Gandingan BN dan PN tawar pelbagai inisiatif termasuk sagu hati perkahwinan dan bil air percuma menerusi manifesto PRN Muafakat Melaka.

Suasana politik di Melaka kembali hangat apabila Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tampil melancarkan manifesto bersama bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16. Manifesto yang dinamakan 'Muafakat Melaka' ini memperkenalkan pelbagai tawaran kebajikan yang terus mencuri tumpuan orang ramai, terutamanya golongan muda dan keluarga berpendapatan rendah.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu turut dihadiri barisan kepimpinan utama termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sagu Hati Kahwin Dan Bil Air Percuma
Antara perkara paling menarik dalam manifesto kali ini adalah pemberian sagu hati perkahwinan secara 'one-off' khas untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Syarat utamanya, bantuan ini disasarkan kepada pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,500 sebulan.
Selain itu, kebajikan kos sara hidup turut diberi perhatian menerusi tawaran bil air percuma bagi isi rumah yang mencatatkan penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan. Inisiatif sebegini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada keluarga yang berjimat-cermat dalam perbelanjaan asas.
Bantuan Pengangkutan KAFA Dan Simpanan SSPN
Bukan pasangan pengantin sahaja yang dapat manfaat, ibu bapa juga bakal menerima bantuan sokongan. Antara inisiatif yang digariskan ialah bantuan tambang pengangkutan untuk murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Bagi perancangan masa depan anak-anak pula, kerajaan negeri merancang untuk menyediakan bantuan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara 'one-off' untuk setiap kelahiran baharu bermula 1 Januari 2027. Langkah ini dilihat sebagai persediaan awal untuk menyemai tabiat menabung demi pendidikan generasi akan datang.
113 Inisiatif Rangkumi 1.06 Juta Penduduk
Menurut Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, manifesto ini menggabungkan konsep BN Sayang Rakyat dan Muafakat Melaka dengan mengambil kira kebajikan kira-kira 1.06 juta penduduk serta 687,697 pengundi di Melaka tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau agama.
Secara keseluruhannya, pelan tindakan ini mengandungi enam teras utama dengan 113 inisiatif. Daripada angka tersebut, sebanyak 20 komitmen utama diberi penekanan khusus kerana menyentuh perkara asas harian masyarakat:
- Perumahan mampu milik dan selesa
- Pengurangan beban kos sara hidup
- Pendidikan dan masa depan generasi muda
- Peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi
- Kebajikan rakyat serta pembangunan infrastruktur negeri
Ab Rauf menegaskan bahawa komitmen ini tidak seharusnya dinilai sebagai deretan angka atau senarai program semata-mata, sebaliknya sebagai satu usaha menyeluruh memenuhi keperluan masyarakat di setiap peringkat usia.
Bukan Sekadar Percaturan Politik
Menyentuh mengenai kerjasama dua gabungan itu, Ab Rauf menyatakan bahawa penyatuan BN dan PN ini bukan sekadar mengejar kepentingan politik, tetapi memikul tanggungjawab besar untuk masa depan negeri.
Beliau juga menambah bahawa sebaik mana pun sebuah manifesto dirangka, perkara paling penting adalah keupayaan untuk melaksanakannya di alam nyata. Setiap komitmen yang dibentangkan perlu disusuli dengan perancangan teliti, penelitian kewangan yang kukuh serta pemantauan berterusan agar semua manfaat benar-benar sampai kepada rakyat.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Akui Silap Lalu, LTAT Lancar Pelan SETIA Demi Bersihkan Imej & Jamin Duit Warga ATM
LTAT melancarkan strategi baharu SETIA 2026-2030 dengan 25 inisiatif bagi memperkukuh integriti serta memastikan wang persaraan anggota tentera terus terpelihara tanpa sebarang kompromi.

Kantoi Pindah Kargo Haram Di Laut Pulau Pinang, Bot Tunda & Sampan RM8 Juta Disita
Maritim Malaysia menahan bot tunda dan sampan di perairan Pulau Pinang kerana disyaki memindahkan kargo tanpa lesen sah dengan nilai sitaan RM8 juta.

Tahanan Rumah Najib Ditangguhkan Pula, Rupanya Ini Kekusutan Yang AGC Sedang Teliti
Pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak ditangguhkan sementara oleh AGC berikutan dua tafsiran berbeza mengenai perintah pengampunan dan kesan kes 1MDB.