Juara Olimpik 5 Kali Teddy Riner Buat Kejutan, Tanding Presiden Perancis 2027
Legenda judo dunia, Teddy Riner mengejutkan ramai apabila mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan Presiden Perancis pada pilihan raya 2027 nanti.

Kalau sebut nama Teddy Riner, peminat sukan tempur seluruh dunia pasti kenal susuk gergasi dari Perancis ini. Beliau bukan calang-calang atlet, koleksi lima pingat emas Olimpik dan 11 gelaran juara dunia sudah cukup membuktikan dominasinya di atas tatami.
Namun, bintang judo berusia 37 tahun itu baru-baru ini melakar kejutan besar apabila mengumumkan dirinya sedia melangkah ke gelanggang politik. Bukan setakat jawatan biasa, beliau mengesahkan bakal bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden Perancis 2027.
Bimbang Rakyat Berpecah Belah
Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, Riner berterus-terang mengenai kebimbangannya melihat lanskap politik semasa di negaranya. Beliau mendakwa tidak sanggup berdiam diri melihat peningkatan pengaruh politik berhaluan kanan ekstrem dan kiri ekstrem yang semakin mencengkam.
Ketika ini, tokoh politik berhaluan kanan ekstrem, Marine Le Pen dilaporkan sedang mendahului tinjauan umum untuk menggantikan Presiden Emmanuel Macron. Sementara itu, pemimpin kiri ekstrem, Jean-Luc Melenchon juga meraih pengaruh yang semakin kuat.
Bagi Riner yang berasal dari wilayah kepulauan Guadeloupe, ketegangan politik ini berisiko mengheret rakyat ke kancah perpecahan yang parah. Beliau mahu menawarkan jalan tengah agar masyarakat mempunyai pilihan baharu yang lebih menyatukan.
Bukan Sekadar Isu Politik
Selain pertembungan ideologi, Riner turut menyentuh tekanan hidup harian yang dirasai rakyat Perancis. Beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan ekonomi semasa, beban hutang negara yang meningkat, serta kehilangan wibawa pihak berkuasa.
Isu diskriminasi sosial juga menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan. Menurutnya, masih wujud situasi di mana masa depan anak muda terjejas hanya kerana faktor warna kulit, nama keluarga, atau ketiadaan hubungan dengan golongan berpengaruh.
Riner menegaskan semangat juang sudah sebati dalam dirinya sejak dulu. Beliau enggan hanya berpeluk tubuh melihat negaranya berdepan kemusnahan sedangkan beliau tahu erti sebenar bangkit selepas terjatuh.
Boleh Menang Ke?
Walaupun namanya cukup harum sebagai wira sukan kebangsaan, laluan Riner ke Istana Elysee dijangka berliku. Penganalisis politik antarabangsa berpandangan status selebriti sukan belum tentu menjamin undi rakyat di peti undi.
Beliau belum mempunyai sebarang pengalaman pentadbiran kerajaan, tiada sokongan parti politik kukuh, dan manifesto terperincinya masih belum dibentangkan kepada umum. Buat masa ini, Riner memaklumkan kempennya akan digerakkan menggunakan dana sendiri serta sumbangan orang ramai.
Menariknya lagi, Riner langsung tidak berhasrat menggantung tali pinggang judonya. Beliau tidak menolak kemungkinan untuk tetap beraksi di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti, walaupun sekiranya ditakdirkan bergelar presiden sebuah negara kuasa besar dunia!
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Didakwa Ada Unsur Pemujaan, Mufti Perjelas Hukum Hadir Konsert The Weeknd
Mufti Pulau Pinang menjelaskan penonton konsert The Weeknd tidak boleh sewenang-wenangnya dilabel syirik jika sekadar hadir tanpa menyertai sebarang ritual pemujaan.

Tahanan Rumah Atau Bebas Terus? KDN Buka Cerita Isu Sebenar Najib Razak
KDN serah kepada mahkamah tentukan sama ada Najib Razak perlu jalani tahanan rumah atau dilepaskan terus susulan kekeliruan istilah perundangan.

Sudah 4 Hari Lesap Tanpa Dokumen Diri, Ibu Rayu Wan Zulaikha Pulang Segera Ke Rumah
Hati seorang ibu tunggal di Kota Bharu luluh apabila anak gadisnya berusia 15 tahun hilang dari bilik tidur sejak Jumaat lalu tanpa membawa dokumen pengenalan diri.