Didakwa Ada Unsur Pemujaan, Mufti Perjelas Hukum Hadir Konsert The Weeknd
Mufti Pulau Pinang menjelaskan penonton konsert The Weeknd tidak boleh sewenang-wenangnya dilabel syirik jika sekadar hadir tanpa menyertai sebarang ritual pemujaan.

Isu konsert artis antarabangsa, The Weeknd, nampaknya masih belum reda dan terus hangat dibincangkan di media sosial. Mana tidaknya, ada pihak mendakwa beberapa elemen dalam persembahan pentas tersebut kelihatan seperti ritual pemujaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara ini sudah tentu mencetuskan kebimbangan ramai, apatah lagi konsert berkenaan turut dihadiri oleh sebilangan peminat beragama Islam. Ramai yang mula berdebat dan tertanya-tanya tentang status pegangan mereka yang berada di lokasi konsert malam itu.
Jangan Terus Jatuhkan Hukum Syirik
Bagi merungkai kekeliruan yang timbul, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai kedudukan hukum bagi perkara ini. Menurut beliau, orang ramai tidak boleh terus memukul rata dan menghukum seseorang itu syirik semata-mata kerana hadir ke konsert berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa perlu ada perbezaan jelas antara individu yang datang sekadar untuk menonton persembahan hiburan tanpa mengetahui kewujudan sebarang ritual, dengan mereka yang memang sedar dan mengambil bahagian.

Seseorang yang hadir hanya untuk menyaksikan persembahan nyanyian tanpa tahu-menahu atau tidak menyertai unsur pemujaan tidak dianggap melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam. Namun begitu, mereka yang hadir sangat digalakkan untuk bermuhasabah, banyakkan beristighfar dan mendirikan solat sunat taubat.
Bila Boleh Jatuh Hukum Syirik Besar?
Bagaimanapun, keadaannya berbeza jika seseorang itu sudah tahu tentang kewujudan unsur pemujaan tetapi tetap sengaja menyokong atau menyertainya. Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah dilarang sama sekali dalam Islam.
Sekiranya individu itu benar-benar menyembah selain Allah SWT dalam keadaan sedar dan rela hati, perbuatan tersebut tergolong sebagai dosa syirik yang amat besar. Jika berlaku situasi begini, individu terbabit wajib segera melakukan taubat nasuha dengan meninggalkan perbuatan itu, menyesal seikhlas hati serta berazam tidak mengulanginya lagi.

Pada masa yang sama, Dr Mohd Sukki turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kesimpulan sendiri terhadap semua penonton berdasarkan andaian semata-mata. Sebarang tafsiran terhadap konsep pentas wajar diberikan ruang kepada pihak berautoriti seperti JAKIM untuk disiasat dan diteliti secara adil berlandaskan fakta.
Jaga Batas Syarak Dalam Berhibur
Selain isu ritual pemujaan, Mufti Pulau Pinang turut menyentuh aspek pergaulan dan suasana konsert itu sendiri. Tanggungjawab bertaubat sebenarnya bukan sekadar untuk mereka yang terbabit dengan isu pemujaan, tetapi juga buat sesiapa yang terjebak dalam kancah maksiat ketika berhibur.
Beliau mengingatkan bahawa jika sesebuah konsert melibatkan pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan wanita, pendedahan aurat, pengambilan minuman keras atau perlakuan tidak sopan, umat Islam yang terlibat wajib memohon keampunan kepada Allah SWT.
Agama Islam sebenarnya tidak pernah melarang hiburan secara mutlak. Namun, setiap hiburan perlulah berpaksikan batas syarak dan tidak wajar dijadikan medan kepada kemungkaran yang boleh mengelirukan serta merosakkan pegangan akidah.
Sumber: OH! Media
Baca juga

Tahanan Rumah Atau Bebas Terus? KDN Buka Cerita Isu Sebenar Najib Razak
KDN serah kepada mahkamah tentukan sama ada Najib Razak perlu jalani tahanan rumah atau dilepaskan terus susulan kekeliruan istilah perundangan.

Sudah 4 Hari Lesap Tanpa Dokumen Diri, Ibu Rayu Wan Zulaikha Pulang Segera Ke Rumah
Hati seorang ibu tunggal di Kota Bharu luluh apabila anak gadisnya berusia 15 tahun hilang dari bilik tidur sejak Jumaat lalu tanpa membawa dokumen pengenalan diri.

Isu Laut China Selatan: Kenapa Malaysia Berkeras Mahu ASEAN Bersatu?
Laut China Selatan bukan sekadar soal sempadan, tapi laluan dagang trilion dolar. Malaysia tegaskan ASEAN perlu bersatu elak krisis maritim berulang.