Siakap KeliLive · Auto-update
Kisah

Hanya Mampu Gerak Tangan, Lelaki Lumpuh Buka Ladang Angsa Demi Sara Ibu Bapa

Walaupun lumpuh dan hanya mampu terlantar, lelaki tabah ini bangkit membina ladang ternakan angsa sendiri demi menyara ibu bapa yang sudah uzur.

Hanya Mampu Gerak Tangan, Lelaki Lumpuh Buka Ladang Angsa Demi Sara Ibu Bapa
Gambar: Harian Metro

Bila melihat ujian hidup sesetengah insan, barulah kita sedar betapa kerdilnya rungutan kita seharian. Bayangkan, sejak usia remaja seluruh tubuh kaku dan hanya dua belah tangan sahaja yang boleh digerakkan. Namun bagi seorang lelaki di China, kekurangan itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki sendiri.

Ujian Berat Sejak Usia Remaja

Qi Zhiqiang yang kini berusia 49 tahun membesar di Zhoukou, wilayah Henan. Nasib malang mula menimpa hidupnya sewaktu berusia 10 tahun apabila dia diserang penyakit reumatik sebelum melarat menjadi radang tulang belakang yang kronik. Disebabkan kekangan rawatan perubatan di kawasan luar bandar, dia hanya mampu menelan ubat tahan sakit dan antibiotik biasa.

Iklan

Menjelang usia 18 tahun, keadaan kesihatannya semakin merosot hingga lumpuh sepenuhnya. Qi terpaksa melupakan alam persekolahan dan hanya mampu terbaring di atas katil. Sakit yang ditanggung begitu mencengkam sehingga dia pernah terfikir untuk berputus asa dengan hidup, namun kasih pada keluarga membatalkan niat gelapnya itu.

Keluarga Jatuh Ditimpa Tangga

Dugaan buat keluarga ini makin hebat apabila pada tahun 2005, adik lelakinya pula disahkan menghidap skizofrenia. Segala wang simpanan ibu bapa habis digunakan untuk menampung kos rawatan. Keadaan makin mendesak hingga ibu bapanya terpaksa mengutip barangan kitar semula demi mengisi perut.

Enggan terus melihat orang tuanya bersusah-payah menyara dirinya, Qi mengambil keputusan berani untuk hidup berdikari. Dengan bantuan seorang tukang besi di kampungnya, sebuah kerusi roda khas berjaya dicipta untuk membolehkan dia bergerak ke sana ke sini dalam posisi berbaring.

Iklan

Belajar Urus Diri Menggunakan Cermin

Bermula dari saat itu, Qi melatih dirinya melakukan kerja rumah secara perlahan-lahan. Memandangkan lehernya kaku dan tidak boleh ditoleh sesuka hati, dia memasang cermin khas semata-mata untuk membantunya memasak hidangan ringkas. Lama-kelamaan, daripada memasak, dia sudah pandai menyapu lantai dan membasuh pakaian sendiri dari atas kerusi roda berkenaan.

Bagi menampung kehidupan, selain menerima sedikit bantuan sara hidup kerajaan, Qi pernah bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan bagi sebuah syarikat e-dagang. Hatinya yang pemurah turut terserlah apabila dia pernah menyumbangkan sebahagian wang pendapatannya kepada orang kampung sewaktu pandemik melanda.

Bangkit Usahakan Ladang Angsa Sendiri

Apabila tempahan kerja secara dalam talian mula berkurangan pada tahun 2022, Qi tidak menunggu lama untuk mencari alternatif lain. Berbekalkan wang simpanan yang ada, dia nekad mengubah halaman rumahnya menjadi sebuah ladang ternakan angsa.

Iklan

Segala urusan menjaga ternakan daripada memberi makan hinggalah membersihkan kawasan reban dilakukannya sendiri menggunakan kerusi roda uniknya itu. Rutin hariannya yang dikongsi di media sosial kini meraih perhatian ramai dengan hampir 200,000 pengikut, malah pihak berkuasa tempatan turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan khidmat doktor haiwan.

Hasil titik peluhnya kini membuahkan hasil apabila ladang itu meraih pulangan lebih RM6,000 setahun. Apa yang menyentuh hati, kesemua wang hasil jualan diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapanya. Diiktiraf sebagai tokoh berdikari di wilayahnya, Qi bersyukur kerana kini dia tidak lagi menjadi beban, sebaliknya mampu membalas jasa kedua ibu bapanya.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan