Siakap KeliLive · Auto-update
Kisah

Bukan Anak Sendiri, Pengorbanan Cikgu Teh Bantu Tiga Pelajarnya Raih Ijazah Sentuh Hati

Tiada pertalian darah dan berbeza bangsa, Sir Teh sanggup berhabis masa serta wang demi memastikan tiga anak didiknya berjaya melangkah ke menara gading.

Bukan Anak Sendiri, Pengorbanan Cikgu Teh Bantu Tiga Pelajarnya Raih Ijazah Sentuh Hati
Gambar: OH! Media

Kasih seorang guru kadangkala melangkaui batas bilik darjah. Itulah yang dibuktikan oleh Teh Boon Siang, atau lebih mesra disapa Sir Teh, yang sanggup berkorban apa saja demi masa depan anak-anak didiknya.

Walaupun berbeza bangsa dan agama serta tiada sebarang pertalian darah, pendidik berusia 35 tahun ini menjaga tiga pelajarnya persis anak sendiri. Pengorbanan luar biasa ini bermula sewaktu beliau bertugas sebagai guru Sejarah dan ketua warden asrama di SMK Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan sejak tahun 2016.

Iklan

Sanggup Redah Sekatan Jalan Raya Waktu PKP

Tiga pelajar bertuah tersebut ialah Yusuf Jafri, Muhammad Shamierul Ikhwan Yazid (Dekwan), dan Muqriz Azim Zazali (Bob). Masing-masing mempunyai latar belakang dan dugaan tersendiri sepanjang menuntut di sekolah menengah.

Yusuf yang berasal dari Bentong, Pahang, kerap diserang penyakit ekzema sehingga terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang. Sir Teh mengambil tanggungjawab merawat dan menjaganya di asrama tanpa keluh kesah. Malah, ketika Yusuf berkira-kira mahu berhenti sekolah demi mencari nafkah membantu ibu dan neneknya, Sir Teh tidak jemu memujuknya setiap hari agar terus bertahan.

Paling menyentuh hati, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Yusuf langsung tiada komputer riba untuk menyiapkan tugasan tingkatan enam. Menyedari hal itu, Sir Teh memohon surat kebenaran polis untuk merentas negeri semata-mata mahu membelikan sebuah komputer riba di Seremban lalu menghantarnya sendiri terus ke rumah Yusuf di Bentong.

Iklan

Tumpangkan Pelajar Selama Lima Tahun

Kisah Dekwan pula lain ceritanya. Dia pernah patah semangat untuk meneruskan pengajian tingkatan enam apabila keputusan peperiksaannya merudum. Demi memastikan Dekwan tidak berputus asa di tengah jalan, Sir Teh sanggup mengambil dan menumpangkannya dari sebuah stesen minyak di Seri Kembangan setiap minggu selama lima tahun untuk memudahkan urusan ulang-alik ke asrama.

Bagi Bob pula, Sir Teh menjadi tulang belakang apabila pemuda itu gagal dalam permohonan UPUOnline. Beliau sendiri membantu menulis surat rayuan sehingga Bob akhirnya berjaya diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS). Malah, sewaktu Bob hampir berputus asa dan mahu pulang akibat kejutan budaya di perantauan, Sir Teh meluangkan masa memujuknya menerusi panggilan video.

Pengalaman Hidup Sendiri Jadi Pendorong

Hasil didikan dan kesabaran cikgu berjiwa murni ini, Yusuf dan Dekwan kini sudah pun menamatkan pengajian di universiti pada Jun dan Ogos lalu. Bob pula dijangka bakal menyusul untuk menerima ijazahnya tahun depan.

Iklan

Yusuf baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke-16. Bagi Yusuf, Sir Teh bukan sekadar guru, malah sudah dianggap sebagai abang, sahabat, dan seorang bapa yang menyelamatkan masa depannya.

Sir Teh yang kini bertugas di SMK Datuk Syed Ahmad di Kuala Nerang, Kedah, berkongsi bahawa kepayahan hidup masa lalunya serta jasa guru-gurunya dahulu menjadi pendorong utama. Beliau mahu membalas kembali kebaikan yang pernah diterimanya kepada generasi muda agar mereka juga mampu mengubah nasib hidup keluarga.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan