Siakap KeliLive · Auto-update
Artis

"Jangan Biar Nampak Bersepah" - Nad Zainal Titip Pesanan Buat Rakan Artis

Nad Zainal mengingatkan rakan selebriti agar bijak menjaga nilai eksklusif diri dan tidak terlalu kerap berkongsi kisah peribadi hingga menghakis keterujaan penonton.

"Jangan Biar Nampak Bersepah" - Nad Zainal Titip Pesanan Buat Rakan Artis
Gambar: gempak

Pada era media sosial hari ini, sesiapa saja bebas memuat naik apa sahaja yang terlintas di fikiran. Namun bagi pelakon berkaliber, Nad Zainal, seorang anak seni perlu ada batas tersendiri dan tidak boleh terlalu kerap menayangkan kehidupan peribadi sehingga hilang nilai istimewa.

Nad, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, berpendapat pendedahan keterlaluan di alam maya sebenarnya boleh memberi kesan negatif kepada karier lakonan seseorang artis. Keterujaan orang ramai untuk menonton karya mereka di layar lebar dikhuatiri pudar jika wajah yang sama sudah terlalu kerap dilihat di merata tempat.

Iklan

Pegang Pesanan Pensyarah Sampai Sekarang

Bercakap mengenai prinsip kerjayanya, pelakon berusia 36 tahun itu mendedahkan dia sentiasa mengingati satu pesanan penting daripada bekas pensyarahnya ketika menuntut ilmu dahulu.

Kata Nad, pesanan tersebut mengingatkan agar jangan sesekali membiarkan kehadiran diri kelihatan 'bersepah'. Baginya, jika wajah dan sisi peribadi terlalu terdedah secara berlebihan, keistimewaan sebagai seorang pelakon itu akan mula terhakis.

Pandangan jujur itu dikongsikan Nad ketika hadir sebagai panel forum Pesona Sinema FFM35 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sesi perkongsian itu memfokuskan kepada topik membina jenama peribadi dalam dunia serba digital.

Iklan

Tahu Batas, Elak Komen Provokasi

Selain mengekalkan nilai eksklusif, Nad turut menekankan soal disiplin diri ketika mengendalikan akaun media sosial. Baginya, tugas hakiki adalah berlakon apabila berada di set penggambaran, dan kembali menjadi seorang isteri sebaik menjejakkan kaki ke rumah.

Atas sebab itu, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri urusan orang lain ataupun mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang provokasi warganet. Kandungan yang dikongsi di media sosialnya juga lebih menjurus kepada perkongsian santai seperti rutin harian dan perihal pendidikan anak-anak.

Sesi forum berkenaan turut disertai pengarah Shamyl Othman, pelakon muda Idan Aedan serta penerbit Darling Ngasri yang masing-masing berkongsi sudut pandang tentang cara mengekalkan kerelevanan diri dalam industri hiburan tempatan.

Iklan

Media Sosial Ibarat Pedang Bermata Dua

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin mengingatkan mahasiswa bahawa platform digital boleh menjadi medan terbaik untuk mengetengahkan bakat jika digunakan dengan berhemah.

Namun begitu, beliau turut menegaskan ia boleh menjadi pedang bermata dua yang berisiko merosakkan reputasi seseorang sekiranya tersilap langkah, lebih-lebih lagi dengan ancaman budaya boikot atau cancel culture masa kini.

Program anjuran WHAM bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menjelajah ke UiTM Kuala Pilah dan UiTM Rembau bagi mendekati hampir 1,000 mahasiswa. Ia merupakan antara acara pengisian menjelang kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan