Hampir Gigit Jari Tiada Tiket, Reza Rahadian Terpegun Tonton PGL The Musical
Pelakon tersohor Indonesia, Reza Rahadian sanggup terbang ke Malaysia demi PGL The Musical selepas hampir terlepas peluang mendapatkan tiket pementasan hebat itu.

Demam pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 nampaknya bukan sahaja melanda peminat teater tempatan, malah auranya turut merentasi sempadan hingga ke negara jiran. Mana tidaknya, naskhah agung arahan Puan Sri Tiara Jacquelina ini berjaya menarik kehadiran dua nama gergasi industri perfileman Indonesia, iaitu Christine Hakim dan Reza Rahadian.
Kedua-dua figura hebat ini sanggup meluangkan masa dan terbang khas dari Jakarta ke Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan sendiri magis pementasan berkenaan.
Hampir Putus Asa Tiada Tiket
Namun di sebalik keterujaan itu, siapa sangka pelakon berkaliber seperti Reza sebenarnya hampir kempunan untuk menyaksikan naskhah tersebut. Pelakon filem Laut Bercerita itu mengakui beliau hampir berputih mata kerana gagal mendapatkan tiket yang sememangnya menjadi rebutan ramai.
Mujurlah ada Christine Hakim atau lebih mesra disapa 'Ibu' yang berjaya menyelamatkan keadaan dengan mendapatkan tiket untuk mereka berdua. Reza meluahkan rasa bersyukur kerana perjalanan mereka menyeberang ke Malaysia tidak berakhir dengan kekecewaan.
Menurut aktor berusia 39 tahun itu, kedatangan mereka bukan sekadar urusan formaliti biasa, sebaliknya didorong oleh rasa persahabatan yang sudah lama terjalin kukuh bersama Tiara. Beliau menegaskan mereka langsung tiada niat untuk sekadar hadir menunjuk muka selama 15 minit awal lalu angkat kaki.
Puji Produksi Bertaraf Tinggi
Sebaliknya, kedua-dua bintang ini duduk setia menghayati persembahan dari awal sehinggalah ke tirai penamat. Reza menyifatkan keseluruhan produksi PGL The Musical sebagai sesuatu yang sangat indah dan memukau, bukan sahaja tertumpu pada kekuatan lakonan para pelakon tetapi mencakupi seluruh tenaga kerja di sebalik tabir.
Bukan itu sahaja, Reza turut menyifatkan naskhah mega ini ibarat sebuah 'lokomotif' baharu yang mampu menjadi pendorong kepada kebangkitan industri teater muzikal berskala besar di Malaysia. Standard tinggi yang dipersembahkan Enfiniti dilihat mampu membuka jalan dan meletakkan tanda aras baharu buat penggiat teater lain.
Angan-Angan Satukan Melaka dan Majapahit
Bintang kelahiran Bogor ini turut meluahkan impiannya untuk melihat naskhah PGL dipentaskan di bumi Indonesia suatu hari nanti. Mengikut bayangannya, alangkah hebat sekiranya sebuah kolaborasi dua hala dapat direalisasikan di mana watak keluarga dari Melaka dibarisi pelakon Malaysia, manakala watak kerajaan Majapahit digalas oleh bakat Indonesia.
Apabila diusik sama ada beliau bersedia menjayakan watak dalam muzikal berkenaan jika impian itu menjadi kenyataan, Reza hanya tertawa santai. Baginya, urusan pemilihan watak idaman adalah hak mutlak pengarah dan bukannya kehendak peribadi pelakon semata-mata.
Fenomena PGL The Musical kali ini sememangnya mencatat sejarah luar biasa. Masakan tidak, sebanyak 23,000 tiket bagi 16 pementasan habis licin disapu dalam tempoh kurang dua jam, malah tiket tambahan Grand Finale pun lincin hanya dalam masa lima minit!
Sumber: gempak
Baca juga

Gelagat Ubai Main Baling Bantal Dengan Anak Curi Tumpuan, Rupanya Ada Manfaat Terapi
Perkongsian santai Shila Amzah memaparkan Ubai MZ bermain baling bantal bersama anak-anak raih pujian ramai selepas netizen mendedahkan manfaat terapi di sebaliknya.

Ada 4 Kerusi Kosong di GV Fantasia, Sharul Kamal Cadang Bawa Masuk 'Batch' Ini
Sharul Kamal cadang empat kekosongan GV Fantasia diisi wakil AF7, AF9, AF2015 dan AF2016 agar persaingan lebih adil dan meriah mengikut batch.

Gayakan Loket Ayat Kursi Masa Deepavali, Kareena Kapoor Dikenakan Notis Undang-Undang
Penampilan Kareena Kapoor sempena Deepavali mencetuskan kontroversi apabila beliau mengenakan loket berukir ayat Kursi hingga menerima notis undang-undang.