Nak Buat Live Tapi Tak Mampu Beli Studio? KUSKOP Sedia Hub TikTok Percuma Di 6 Lokasi!
KUSKOP dan TEKUN Nasional kini sediakan studio siaran langsung TikTok secara percuma di enam lokasi seluruh negara untuk bantu usahawan kecil melonjakkan jualan.

Sekarang ini kalau nak harapkan jualan di kedai fizikal semata-mata, memang agak mencabar. Ramai peniaga mula beralih buat siaran langsung atau LIVE di media sosial, terutamanya di TikTok Shop untuk tarik pelanggan dari seluruh pelosok negara.
Masalahnya, nak sediakan satu ruang studio yang kemas bukannya murah. Kena fikir lampu pencahayaan yang terang, mikrofon kalis bising, gajet canggih dan sambungan internet laju yang tak tersekat-sekat.
Studio Percuma Lengkap Peralatan Canggih
Memahami kekangan modal yang dihadapi peniaga kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia tampil dengan inisiatif membuka studio TikTok Shop LIVE Hub.
Terbaharu, hab keenam telah dibuka secara rasmi di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong. Menerusi kemudahan ini, usahawan tempatan boleh menempah bilik studio secara percuma selama dua jam bagi setiap sesi siaran langsung.
Ruang yang disediakan bukan calang-calang kerana ia siap dengan bilik kalis bunyi, internet berkelajuan tinggi dan lebih 500 pilihan latar belakang digital bersama kesan khas. Menariknya lagi, petugas teknikal turut ada di lokasi untuk membantu sekiranya peniaga berdepan masalah teknikal ketika bersiaran.
Kini Buka Di Enam Lokasi Seluruh Negara
Buat yang belum tahu, Pulau Pinang merupakan lokasi terbaharu yang melengkapkan enam rangkaian hab di seluruh negara. Usahawan di negeri lain juga boleh menikmati kemudahan yang sama mengikut zon masing-masing.
Tiga lokasi terawal yang sudah beroperasi sebelum ini adalah di:
- Penampang, Sabah
- Kuala Lumpur
- Johor Bahru, Johor
Manakala tiga lagi lokasi tambahan yang dibuka pada tahun ini merangkumi:
- Kota Bharu, Kelantan
- Kuantan, Pahang
- Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Secara keseluruhan, gabungan kesemua hab ini menempatkan 12 studio LIVE, tiga pusat latihan serta sebuah studio podcast khas. Di Pulau Pinang sahaja, terdapat dua studio LIVE dan satu pusat latihan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 peniaga.
Bukan Sekadar Studio, Latihan Pun Disediakan
Bagi peniaga yang masih kekok atau malu-malu di depan kamera, anda tak perlu risau. Pusat ini bukan sekadar sediakan tempat bercakap, malah menawarkan latihan praktikal merangkumi teknik jualan LIVE, cara hasilkan video pendek yang menarik serta ilmu pemasaran digital.
Langkah ini terbukti berkesan apabila kerjasama strategik antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia berjaya merekodkan jualan terkumpul melebihi RM45 juta yang dijana oleh lebih 1,300 usahawan.
Menurut Steven Sim, pemanfaatan teknologi digital seperti ini membuka ruang luas buat peniaga kecil meluaskan pasaran tanpa perlu pening kepala menanggung kos sewa cawangan baharu atau operasi harian yang tinggi.
Cara Untuk Menempah Sesi
Bagi hab di Pulau Pinang, waktu operasi bermula dari hari Isnin hingga Jumaat, seawal jam 10 pagi sehingga 6 petang.
Mana-mana usahawan yang berminat untuk menggunakan kemudahan percuma ini boleh membuat tempahan slot menerusi laman web rasmi tiktokshoplivehub.com atau ikuti perkembangan lanjut di akaun TikTok @livehubmy.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Banjir Termenung Sukar Surut, 4 Pam Air Dikerah Bantu Penduduk Kuala Selangor
Masalah banjir termenung di Kampung Bukit Hijau dan Parit Mahang dijangka surut segera selepas empat unit pam air dikerah beroperasi sepenuhnya.

BN Nak Bergabung Dengan PN Tawan Putrajaya? Ini Jawapan Terkini Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan desas-desus mengenai kemungkinan BN bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU16.

BN Sah Tak Bertanding PRN Sarawak, Zahid Hamidi Buka Mulut
Barisan Nasional sah tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13 demi menghormati persefahaman lama antara UMNO dan PBB.