Gayakan Loket Ayat Kursi Masa Deepavali, Kareena Kapoor Dikenakan Notis Undang-Undang
Penampilan Kareena Kapoor sempena Deepavali mencetuskan kontroversi apabila beliau mengenakan loket berukir ayat Kursi hingga menerima notis undang-undang.

Nama bintang terkenal Bollywood, Kareena Kapoor, tiba-tiba hangat diperkatakan selepas penampilannya pada sambutan Hari Deepavali baru-baru ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat. Niat asal mahu melaram dengan gaya klasik dan megah bertukar menjadi isu panas apabila dia dilaporkan menerima notis undang-undang daripada aktivis sosial serta beberapa anggota masyarakat Islam.
Isu ini mula tercetus gara-gara sekeping aksesori yang dipakainya. Bukan sebarangan barang kemas, aktres jelita itu dilihat mengenakan loket hijau zamrud 30 karat yang mempunyai ukiran ayat suci al-Quran, iaitu ayat al-Kursi.
Loket Bersejarah Milik Kerabat Diraja Bhopal
Bagi yang mengikuti perkembangan keluarga selebriti ini, pasti tahu bahawa suaminya, Saif Ali Khan, mempunyai pertalian darah dengan keluarga diraja Bhopal. Loket zamrud yang dipakai Kareena itu sebenarnya merupakan barang pusaka bersejarah kepunyaan Begum Bhopal terdahulu, sebelum diwariskan kepadanya selepas mendirikan rumah tangga dengan Saif.
Malah, aksesori bernilai tinggi ini mempunyai nilai sentimental tersendiri buat pasangan tersebut kerana ia pernah digayakan oleh Saif sendiri pada hari perkahwinan mereka. Nenek kepada Saif, Sajida Sultan, adalah anak perempuan kepada Nawab Bhopal terakhir yang pernah memerintah wilayah berkenaan.
Pendedahan Daripada Pereka Fesyen Sendiri
Penampilan Kareena pada hari perayaan tersebut diserikan dengan padanan kaftan rona kuning air dan serban rona sedondon rekaan pereka fesyen terkenal, Punit Balana. Bagi melengkapkan imej diraja itu, kepalanya dihiasi aksesori kalgi berusia 200 tahun milik Nawab Bhopal.
Perkara ini mula disedari ramai apabila pereka fesyen, Rhea Kapoor, yang bertanggungjawab menata gaya Kareena memuat naik butiran terperinci mengenai busana tersebut di akaun media sosial miliknya. Rhea berkongsi bahawa perhiasan mewah itu bertatahkan zamrud tulen dan diukir indah dengan ayat al-Kursi.
Kareena sendiri turut memuat naik beberapa keping gambar memperagakan busana berkenaan sambil menitipkan pesanan bahawa Deepavali adalah tentang menghayati sesuatu tradisi dengan cara yang betul.
Bantahan Daripada Aktivis Sosial
Namun begitu, perkongsian berkenaan tidak disambut baik oleh semua pihak. Aktivis sosial, Abbas Hafeez, bersama beberapa individu lain tampil mengambil tindakan dengan menghantar notis undang-undang kepada ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Mereka meluahkan rasa bantahan terhadap cara pemakaian loket berunsur kalimah suci al-Quran tersebut yang digayakan dalam konteks sambutan perayaan bukan Islam. Isu ini jelas menyentuh sensitiviti keagamaan memandangkan ayat Kursi merupakan ayat yang amat dimuliakan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Setakat ini, peminat dan pemerhati industri hiburan di India masih menantikan sebarang maklum balas rasmi daripada pihak Kareena atau pasukannya berhubung tindakan undang-undang yang dikenakan terhadapnya itu.
Sumber: gempak
Baca juga

Raih Tempat Keempat Di Eurovision Asia, Aina Abdul Terima Pujian Siti Nurhaliza
Aina Abdul membanggakan Malaysia dengan menduduki tangga keempat di Eurovision Song Contest Asia 2026, sekali gus menarik perhatian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Terlepas Gelaran Juara Eurovision Asia, Aina Abdul Mohon Maaf Kepada Peminat
Walaupun berjaya raih tempat keempat di Eurovision Song Contest Asia 2026, penyanyi Aina Abdul tetap memohon maaf kepada peminat yang meletakkan harapan tinggi.

Mualim Muda 2: Langkah Syafiq Terhenti Minggu Ketiga, Semak Markah Penuh Peserta
Perjalanan Mualim Muda Syafiq berakhir pada minggu ketiga selepas meraih markah terendah. Manakala Mualim Muda Aizuddin terus selesa di kedudukan teratas tiga minggu berturut-turut.