Dua Beradik Terselamat Nahas MPV Sayu Lambai Jenazah Ibu Bapa Buat Kali Terakhir
Dua beradik yang cedera dalam nahas lori hempap MPV di Batu Pahat meruntun hati ramai apabila menatap dan melambai jenazah ibu bapa mereka buat kali terakhir.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada siapa sangka, perjalanan sebuah keluarga di Batu Pahat bertukar menjadi detik paling menyayat hati apabila sepasang suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan mereka dihempap sebuah lori muatan pasir.
Tragedi yang berlaku di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani itu telah meragut nyawa Mohd Hardi Mohd Husin, 46, bersama isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.
Detik Pilu di Jabatan Forensik
Lebih meruntun jiwa, dua anak mereka iaitu Hasya Fahira, 11, dan Muhammad Adam, 8, yang terselamat dalam kemalangan ngeri berkenaan terpaksa menelan hakikat pahit kehilangan kedua-dua ibu bapa sekelip mata.
Kedua-dua beradik yang masih menahan sakit akibat luka, lecur pada bahagian kaki serta kecederaan di kepala itu dibawa turun dari wad Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dengan menggunakan kerusi roda. Mereka diberi kesempatan untuk menatap wajah ibu bapa mereka buat kali terakhir di Jabatan Forensik.
Sambil ditemani dua jururawat, suasana bertukar hening apabila Hasya Fahira menitiskan air mata dan beberapa kali mengucup jenazah ibu bapanya. Tindakan penuh kasih itu kemudiannya disusuli oleh adiknya, Muhammad Adam.
Saat van jenazah mula bergerak perlahan meninggalkan kawasan hospital, kedua-dua anak kecil ini melambaikan tangan dengan titisan air mata yang tidak henti mengalir. Malah, jururawat yang berada di sisi mereka turut tidak dapat menahan rasa sebak dan dilihat mengesat air mata melihat ketabahan dua beradik berkenaan.
Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad
Jenazah pasangan suami isteri ini kemudiannya dibawa pulang ke kediaman keluarga mereka di Parit Sulong untuk disolatkan. Lebih 200 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai serta penduduk setempat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kedua-dua mangsa selamat disemadikan bersama di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon sekitar jam 11.45 malam.
Tragedi Berpunca Tayar Lori Pecah
Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat beranak itu dihempap oleh sebuah lori membawa muatan pasir yang hilang kawalan dan terbabas. Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah tayar lori yang pecah.
Kini, Hasya Fahira dan Muhammad Adam masih menerima rawatan lanjut di HSNI. Semoga kedua-dua beradik ini diberikan kesembuhan segera dan ketabahan yang luar biasa untuk meneruskan kehidupan mendatang tanpa insan bergelar ibu dan ayah di sisi.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Bantu Rakyat Bukan Punca Negara Muflis, PM Anwar Buka Mulut Soal Kerosakan Sebenar
Perdana Menteri menegaskan bantuan kebajikan untuk rakyat bukan punca negara muflis, sebaliknya salah laku dan kelemahan tatakelola pemimpin yang merosakkan ekonomi.

PRN Sarawak Ke-13: DAP Sah Bertanding 7 Kerusi di Kuching dan Bau
DAP Sarawak sah tanding tujuh kerusi di Kuching dan Bau untuk PRN-13, selain pertimbang kerusi kelapan demi peranan semak dan imbang di DUN.

Teguran Keras Syeikh Wazir: Jatuhkan Kerajaan Adil Diibarat Macam Khawarij
Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki beri peringatan tegas, tindakan mahu jatuhkan pemimpin yang mentadbir secara adil adalah haram dan mirip perbuatan Khawarij.