Rahsia 2 Tahun Terbongkar, Bekas Ratu Cantik Cerai Suami Lepas Dicurangi & Duit Dikebas
Boom Panadda nekad bercerai selepas mendakwa suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan anak pembantu rumah selain melarikan wang simpanan mereka.

Siapa sangka di sebalik senyuman manis dan imej keluarga bahagia yang dipaparkan kepada umum, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah duka yang cukup meremukkan hati. Bekas pemenang Miss Thailand 2000 yang juga pelakon terkenal, Boom Panadda, akhirnya nekad menamatkan perkahwinannya bersama suami, God Atip.
Dalam satu sidang media khas pada 29 Oktober lalu, wanita berusia 50 tahun ini mendedahkan segalanya tanpa berselindung lagi. Krisis rumah tangga mereka sebenarnya bukan baru berlaku, sebaliknya sudah bermula sejak tahun 2024 akibat siri kecurangan dan masalah kewangan yang melampau.
Curang Dengan Anak Pembantu Rumah Sendiri
Panadda mendedahkan detik paling menyakitkan bermula sewaktu dia sedang sarat menunggu hari untuk melahirkan anak lelaki mereka, Alex. Pada waktu itulah dia mendapat tahu suaminya keluar minum bir bersama anak perempuan pembantu rumah mereka yang ketika itu baru berumur sekitar 17 atau 18 tahun.
Hubungan terlarang itu tidak berhenti di situ sahaja. Atip didakwa terus menjalinkan hubungan cinta dengan remaja berkenaan malah turut memberikan sokongan kewangan. Selepas insiden tersebut terbongkar, mereka mengambil keputusan untuk tinggal berasingan.
Namun demi menjaga emosi anak-anak, Panadda memilih untuk berkorban dan berpura-pura bahagia di mata masyarakat serta media sepanjang dua tahun lalu.
Dikhianati Sahabat Karib Yang Dipercayai
Penderitaan Panadda bertambah parah apabila suaminya sekali lagi didakwa menduakannya. Kali ini, wanita yang menjadi orang ketiga ialah individu yang amat rapat dan bekerja bersamanya sejak sekian lama.
Lebih mengejutkan, sahabat karibnya itu tergamak merakam pertengkaran antara Panadda dan suaminya secara senyap-senyap. Rakaman berkenaan dijadikan alat ugutan untuk disebarkan ke alam maya, selain cuba memutar belit cerita kononnya Panadda yang menjalinkan hubungan sulit.
Peti Besi Diselongkar, Anggap Diri Macam Mesin ATM
Bukan sekadar isu curang, masalah kewangan Atip turut menjadi punca perpisahan ini. Panadda meluahkan rasa terkilan apabila mendapati wang simpanan anak-anak mereka, Alex dan Arthur, yang disimpan di dalam peti besi telah lesap diambil suaminya.
Wang tersebut merupakan hadiah tunai daripada sebuah jenama sabun terkemuka. Apabila ditanya ke mana hilangnya duit berkenaan, lelaki itu hanya menjawab ringkas bahawa wang itu sudah pun habis.
Menurut Panadda, suaminya sering menerima panggilan daripada pemiutang kebelakangan ini dan sempat memintanya wang sebanyak RM1.4 juta pada 12 Oktober lalu. Selepas permintaan itu ditolak, dia terus dihujani desakan sehingga berasa dirinya diperlakukan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Kemuncaknya, Atip didakwa menceroboh kediaman mereka secara senyap-senyap untuk membuka peti besi tersebut. Menyedari tindakan mencurigakan itu dan melihat suaminya menyelongkar dokumen peribadi, Panadda segera menukar kod keselamatan dan membawa anak-anaknya bermalam di sebuah hotel demi keselamatan diri.
Sumber: gempak
Baca juga

Dengar Peminat Panggil Ara 'Tempoyot', Tindakan Spontan Syed Saddiq Raih Pujian Netizen
Syed Saddiq dipuji netizen selepas pantas menegur peminat di lapangan terbang yang memanggil anak Bella Astillah, Ara, dengan gelaran 'tempoyot'.

Dr Afifah Sah Bergelar Isteri, Lufya Buka Cerita Detik Awal Pertemuan
Pempengaruh media sosial Dr Afifah Hidayah kini sah bergelar isteri kepada Kapten Amrul Nizar. Rupanya Lufya Omar jadi 'orang tengah' perkenalan mereka.

Selamat Bernikah Lagi, Dr Fie Titip Doa Minta Bahagia Hingga Ke Jannah
Personaliti media sosial Dr Fie selamat diijabkabulkan bersama Kapten Amrul Nizar dan memohon maaf andai ada kekurangan pada majlisnya.