Dinda Anwar Dinobat Pempengaruh Terbaik ASIA 2026, Bolot Hadiah Lebih RM40,000
Pempengaruh Indonesia, Dinda Anwar rangkul anugerah utama ASIA 2026 dan bawa pulang tunai lebih RM40,000 selepas pikat juri menerusi kandungan menarik.

Rezeki terpijak buat pencipta kandungan popular dari negara seberang! Dinda Anwar baru-baru ini melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah utama, Best Influencer Award pada malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2026.
Kemenangan manis itu melayakkan Dinda membawa pulang trofi berprestij berserta hadiah wang tunai AS$10,000, iaitu sekitar lebih RM40,000 mengikut kadar pertukaran mata wang semasa. Langkahnya nyata bertuah apabila turut menggondol satu lagi trofi menerusi kategori Best Culture Curator yang menawarkan hadiah wang tunai tambahan AS$1,000.

Saingan Sengit Dari Puluhan Negara
Bukan mudah untuk berdiri di pentas utama tersebut memandangkan saingan edisi kali ini cukup sengit. Tempat kedua berjaya diraih pempengaruh dari Pakistan, Zulqarnain, yang membawa pulang wang tunai AS$5,000 selain memenangi kategori Best Gourmet Story.
Manakala tempat ketiga pula menjadi milik wakil Vietnam, Duc Koi, yang membawa pulang AS$3,000 dan trofi Best Story Teller. Antara pemenang lain yang turut mencuri tumpuan ialah Herony dari Filipina bagi anugerah Best Transition, serta wakil Malaysia sendiri, Haikal Irfan, yang diiktiraf menerusi Best Dedication Award.
Jelajah Pelbagai Negeri Promosi Malaysia
Penganjuran ASIA 2026 kali ini bukan sekadar majlis penyampaian anugerah biasa. Seramai 110 pempengaruh yang datang dari 20 buah negara dibawa menjelajah ke pelbagai pelosok destinasi menarik di tanah air.

Antara lokasi yang sempat diterokai peserta termasuklah Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Langkawi, Pulau Pinang serta Sabah. Sepanjang kembara itu, mereka merasai sendiri keunikan budaya warisan, mencuba kepelbagaian makanan tempatan dan menikmati tarikan pelancongan sebelum memuat naik pengalaman berkenaan ke media sosial masing-masing.
Capai 3.8 Bilion Tontonan Digital
Program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia ini turut menjadi sebahagian daripada sokongan terhadap kempen Visit Malaysia 2026-2027.

Pengasas ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan memaklumkan inisiatif yang mula diperkenalkan sejak 2023 itu telah merekodkan jumlah tontonan digital terkumpul mencecah 3.8 bilion. Angka tersebut menjadi bukti bahawa kuasa media sosial dan kreativiti pempengaruh mampu memperkenalkan nama Malaysia ke mata dunia secara lebih segar dan meluas.
Trofi kemenangan pada malam tersebut telah disampaikan sendiri oleh beliau bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Sumber: gempak
Baca juga

Alasan Baki Bank Kurang RM1 Tak Ke Mahkamah, Christy Ng Pelik Individu Aktif Di Threads
Christy Ng kesal individu yang disamannya gagal hadir ke mahkamah dengan alasan baki bank bawah RM1, sedangkan masih aktif membuat hantaran di Threads.

Syed Saddiq Tulis Apa Atas Pelamin? Ini Sebab Bawa Buku Nota Waktu Majlis Berinai
Gelagat Syed Saddiq khusyuk mencatat dalam buku nota atas pelamin majlis berinai tular di media sosial. Akhirnya beliau tampil dedah sebab sebenar.

Suspek Kes Tidak Senonoh Pada Kucing Ditahan, Rupanya Ada 3 Rekod Jenayah
Suspek lelaki berusia 49 tahun yang tular melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap kucing di Pasir Puteh kini direman. Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau.