Siakap KeliLive · Auto-update
Viral

Alasan Baki Bank Kurang RM1 Tak Ke Mahkamah, Christy Ng Pelik Individu Aktif Di Threads

Christy Ng kesal individu yang disamannya gagal hadir ke mahkamah dengan alasan baki bank bawah RM1, sedangkan masih aktif membuat hantaran di Threads.

Alasan Baki Bank Kurang RM1 Tak Ke Mahkamah, Christy Ng Pelik Individu Aktif Di Threads
Gambar: OH! Media

Bila berdepan dengan tindakan undang-undang di mahkamah, komitmen untuk hadir pastinya perkara paling penting. Namun lain pula ceritanya dalam kes melibatkan usahawan fesyen terkenal, Christy Ng, apabila seorang individu yang disamannya gagal hadir ke prosiding Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Lebih mencuri tumpuan, alasan yang diberikan oleh lelaki terbabit agak luar biasa. Dia mendakwa tidak mempunyai wang tambang kerana baki akaun banknya tinggal kurang daripada RM1, selain tiada kenderaan sendiri untuk ke mahkamah.

Iklan

Alasan Baki RM1 Tapi Aktif Menulis Di Threads

Christy meluahkan rasa kesal dan pelik dengan tindakan individu berkenaan, J Vikneshvra Rau. Menurutnya, pihak peguam dan syarikatnya sudah cuba menghubungi lelaki itu berkali-kali sebelum hari perbicaraan menerusi pelbagai saluran seperti panggilan telefon, e-mel dan pesanan ringkas.

Namun, lelaki itu hanya menghubungi peguamnya pada pagi prosiding berlangsung untuk memaklumkan kekangan kewangan serta ketiadaan kenderaan.

Apa yang membuatkan pihak Christy rasa terkilan, individu berkenaan rupa-rupanya masih rancak membuat pelbagai hantaran di aplikasi media sosial Threads pada waktu yang sama. Situasi itu menimbulkan tanda tanya tentang sejauh mana kejujuran alasan yang diberikan kepada mahkamah.

Iklan

Mahkamah Arah Bantuan Polis, Sebutan Baharu 26 Oktober

Susulan ketidakhadiran defendan, mahkamah telah menetapkan tarikh prosiding baharu pada 26 Oktober ini. Bukan itu sahaja, mahkamah turut mengarahkan pihak Christy untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan lelaki terbabit hadir ke mahkamah kelak.

christy ng

Christy berharap agar individu tersebut dapat memberikan kerjasama penuh dan menghadirkan diri pada tarikh yang ditetapkan tanpa sebarang alasan lagi.

Latar Belakang Kes Saman Fitnah RM180,000

Bagi yang terlepas jalan cerita, prosiding ini sebenarnya berkaitan dengan permohonan komital yang difailkan oleh Christy dan syarikatnya, Christy Ng Sdn Bhd. Tindakan ini diambil selepas lelaki terbabit didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Iklan

Terdahulu pada penghujung Julai lalu, Christy berjaya memenangi kes saman fitnah terhadap pengendali akaun Threads berkenaan. Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman ingkar terhadap defendan atas kesalahan memfitnah, mengganggu, serta mencampuri urusan perniagaan syarikat secara tidak sah.

Menerusi keputusan itu, defendan diperintahkan untuk memenuhi beberapa tuntutan:

  • Membayar ganti rugi berjumlah RM180,000 berserta faedah.
  • Membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
  • Menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat sepanjang satu halaman penuh di akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris, serta di semua platform media sosial miliknya.

Kegagalan defendan memenuhi syarat permohonan maaf di akhbar itulah yang membawa kepada permohonan komital ini. Kini, ramai yang menanti sama ada individu terbabit akan memunculkan diri pada prosiding 26 Oktober ini selepas campur tangan pihak polis.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan