Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Dilamar Guna 1,200 Dron, DSV Buka Mulut Soal Majlis Kahwin Bersama Fazley

Risau dikecam pada awalnya, Datuk Seri Vida akhirnya luahkan rasa syukur terima sokongan ramai dan beri bayangan majlis kahwin dengan Datuk Fazley Yaakob.

Dilamar Guna 1,200 Dron, DSV Buka Mulut Soal Majlis Kahwin Bersama Fazley
Gambar: rotikaya

Ramai yang masih belum boleh melupakan detik manis apabila usahawan sensasi, Datuk Seri Vida dilamar oleh penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob. Mana tidaknya, kejutan lamaran yang menampilkan formasi 1,200 dron di ruang udara baru-baru ini memang cukup hebat dan terus menjadi bualan hangat netizen.

Namun di sebalik suasana romantis itu, rupa-rupanya terselit rasa bimbang dalam hati Vida sendiri. Beliau mengakui pada malam lamaran tersebut, dirinya lebih banyak mendiamkan diri kerana risau menerima kecaman hebat daripada warga maya. Maklumlah, sebagai figura yang sering menjadi tumpuan ramai, apa sahaja yang dilakukannya mudah mengundang pelbagai pandangan.

Iklan

Vida menegaskan bahawa dia sama sekali tidak mahu perhubungan istimewa yang baru berputik itu dimulakan dengan tanggapan buruk atau kata-kata negatif. Beliau mahu setiap langkah yang diatur berlangsung dalam suasana yang tenang dan disenangi ramai pihak.

Disambut Baik, 99 Peratus Beri Doa

Sangkaan Vida bagaimanapun meleset sama sekali. Sebaik sahaja momen indah tersebut tular, hampir 99 peratus maklum balas yang diterimanya adalah doa yang baik-baik serta sokongan padu daripada orang ramai. Ramai yang meluahkan rasa teruja dan tumpang gembira melihat kebahagiaan mereka berdua.

Malah, ramai peminat mula tidak sabar dan mendesak agar pasangan ini segera mendirikan rumah tangga. Menyentuh mengenai desakan itu, Vida sempat berseloroh bahawa jika diikutkan rasa hati, semalam pun dia sudah sedia untuk bernikah.

Iklan

Namun Vida sedar, melangkah ke alam perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan secara terburu-buru. Baginya, sebuah ikatan yang suci menuntut perancangan yang sangat teliti dan rapi demi kebaikan bersama pada masa hadapan.

Mahu Lalui Fasa Merisik Dan Bertunang

Menariknya lagi, Vida berkongsi bahawa dia mahu menikmati setiap fasa adat perkahwinan Melayu satu persatu. Dia teringin merasai sendiri proses bermula daripada majlis merisik, pertunangan, sehinggalah ke hari akad nikah nanti tanpa melangkau mana-mana fasa penting.

Vida juga sempat berseloroh meminta orang ramai membayangkan kemeriahan yang bakal tercipta untuk majlis pertunangan dan perkahwinannya kelak. Jika sesi melamar sahaja sudah cukup gah dengan limpahan cahaya 1,200 dron di langit, sudah pasti majlis yang seterusnya akan dirancang dengan lebih bermakna.

Iklan

Mengakui bahawa perbincangan ke arah fasa yang lebih serius sudah pun bermula antara dirinya dan Fazley, kini peminat hanya menantikan perkhabaran rasmi mengenai tarikh hari bahagia mereka. Semoga segala perancangan pasangan ini dipermudahkan dan kekal bahagia hingga ke jenjang pelamin.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan