Bintang Star Trek & X-Men, Sir Patrick Stewart Meninggal Dunia Pada Usia 86 Tahun
Pelakon legenda watak Profesor X dan Kapten Picard, Sir Patrick Stewart dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di Los Angeles.

Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita duka pemergian pelakon veteran Britain yang cukup disegani, Sir Patrick Stewart. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles pada hari Rabu.
Bagi peminat filem sains fiksyen dan adiwira, wajah serta suaranya pasti sukar dilupakan. Beliau cukup sinonim dengan dua watak mega sepanjang zaman iaitu Kapten Jean-Luc Picard dalam francais Star Trek dan pemimpin mutan berkerusi roda, Profesor Charles Xavier menerusi siri X-Men.
Pergi Dengan Tenang Di Sisi Isteri Tercinta
Berita sedih ini disahkan sendiri oleh wakilnya, Kelly Bush Novak menerusi satu kenyataan rasmi keluarga. Patrick dilaporkan pergi dalam keadaan tenang di bawah jagaan penuh kasih sayang isterinya, Sunny Ozell, sambil ditemani alunan muzik, doa dan insan-insan terdekat.
Mendiang sebelum ini melalui fasa sukar apabila berdepan masalah kesihatan dalam tempoh singkat, iaitu penyakit Alzheimer dan demensia badan Lewy (Lewy Body Dementia). Walaupun perjalanannya melawan penyakit itu singkat, keluarganya menyifatkan ketenteraman pada wajah beliau kekal anggun sehingga ke akhir hayat.
Langkah Berani Yang Mengubah Kerjaya
Dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, Patrick memulakan langkah dalam dunia lakonan sejak usia 18 tahun. Beliau asalnya membina nama sebagai pelakon teater berprestij bersama Royal Shakespeare Company sekitar era 1960-an.
Namun, tuah sebenar menyebelahinya di persada global apabila beliau ditawarkan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam Star Trek: The Next Generation pada usia 47 tahun. Watak itu dibintanginya sebanyak 176 episod sepanjang tujuh musim antara 1987 hingga 1994, sekaligus mempopularkan ungkapan ikonik seperti “Make it so” dan “Engage”.
Menariknya, sahabat karib beliau iaitu Sir Ian McKellen pernah menasihatinya supaya menolak tawaran tersebut dan kekal fokus di pentas teater. Mujurlah beliau tidak mendengar nasihat itu, kerana keputusan menyertai Star Trek nyata mengubah seluruh hidupnya, hinggakan beliau kembali membawa watak Picard pada tahun 2020 menerusi siri penstriman khas.
Kisah Silam Dan Legasi Seni Yang Abadi
Impak Patrick berterusan apabila melangkah masuk ke dunia adiwira menerusi francais X-Men bermula tahun 2000. Walaupun awalnya berasa sangsi untuk menerima watak Profesor X kerana genre fiksyen yang serupa, lakonannya ternyata memberi pengaruh luar biasa kepada beberapa generasi peminat komik Marvel.
Namun, di sebalik kejayaan gemilang di layar perak, Patrick membesar dalam kehidupan yang penuh kepayahan. Beliau pernah berkongsi kisah duka zaman kanak-kanaknya yang miskin, selain terpaksa menyaksikan ibunya menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh bapanya yang mengalami trauma perang.
Bagi Patrick, dunia lakonan dan karya sastera Shakespeare adalah 'ruang selamat' untuk beliau lari daripada trauma zaman kecil. Segala bakti seninya akhirnya diiktiraf di peringkat tertinggi apabila beliau dianugerahkan gelaran kesatria 'Sir' oleh Istana Buckingham pada tahun 2010.
Mendiang yang pernah berkahwin tiga kali dan memiliki dua cahaya mata ini meninggalkan legasi yang sangat besar. Beliau bukan sekadar pelakon pentas klasik yang hebat, malah ikon budaya pop moden yang lakonannya akan terus hidup dalam ingatan peminat filem di seluruh dunia.
Sumber: gempak
Baca juga

Kenapa Ramai Pilih Alasan 'Tiada Persefahaman'? Diana Danielle Buka Suara
Diana Danielle beri pandangan jujur kenapa alasan tiada persefahaman selalu jadi pilihan utama pasangan bercerai berbanding isu curang.

Pelajar Terkejut Jumpa Buku Teks Milik Daiyan Trisha, Tuan Badan Tampil Respon
Seorang individu terkejut apabila mendapati buku teks tingkatan lima miliknya pernah diguna oleh Daiyan Trisha. Pelakon itu sendiri tampil mengesahkan perkara tersebut.

Noah Wyle Dinobat Lelaki Terseksi 2026, Peminat Terkejut & Persoal Ada Calon Lain?
Pelakon siri The Pitt, Noah Wyle dinobatkan sebagai Sexiest Man Alive 2026 oleh majalah People, namun pemilihan aktor veteran ini mencetuskan perdebatan hangat peminat.