Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Noah Wyle Dinobat Lelaki Terseksi 2026, Peminat Terkejut & Persoal Ada Calon Lain?

Pelakon siri The Pitt, Noah Wyle dinobatkan sebagai Sexiest Man Alive 2026 oleh majalah People, namun pemilihan aktor veteran ini mencetuskan perdebatan hangat peminat.

Setiap tahun, pengumuman gelaran Sexiest Man Alive anjuran majalah antarabangsa People memang sentiasa dinanti-nantikan ramai. Bagi edisi 2026, takhta lelaki paling seksi di dunia itu secara rasminya menjadi milik pelakon terkenal Hollywood, Noah Wyle.

Kemunculan bintang drama bersiri The Pitt ini di muka depan majalah dengan gaya kasual serba denim pantas menarik perhatian ramai. Namun, apa yang lebih mencetuskan perbualan hangat adalah reaksi peminat dan netizen sejurus nama aktor berusia 55 tahun itu diumumkan.

Iklan

Tuan Badan Sendiri Ingat Kena Gurau

Menariknya, Noah sendiri mengakui rasa terkejut apabila menerima perkhabaran tersebut. Bapa kepada tiga orang anak ini mendedahkan dia pada mulanya menyangka pengumuman berkenaan sekadar gurauan dan tidak pernah membayangkan penghormatan sebegitu akan diberikan kepadanya.

Suami kepada Sara Wyle ini turut berseloroh bahawa gelaran baharu itu pasti menjadi bahan usikan anak-beranak di rumah untuk tempoh puluhan tahun akan datang. Baginya, usikan daripada keluarga sudah tentu tidak dapat dielakkan lagi.

Netizen Terbelah Bahagi, Ada Yang Garu Kepala

Sebaik sahaja berita ini tular di platform X, reaksi orang ramai cukup meriah dengan pelbagai pandangan sinis dan mencuit hati. Ada yang secara terbuka meluahkan rasa hairan dan mempersoalkan kriteria pemilihan dari sudut rupa paras.

Iklan

Antara reaksi spontan netizen yang menjadi perhatian termasuklah:

  • "Saya tidak kata beliau hodoh, tapi ada calon lain tak?"
  • "Noah Wyle, Sexiest Man Alive. Jadi mana lelaki lain? Sudah mati?"
  • "Noah Wyle lelaki terseksi dunia? Tidak, bukan di dunia yang sedang saya lalui dan hidup saat ini."

Bagi segelintir peminat, gelaran tersebut dirasakan agak tidak selari dengan pilihan lazim yang sering menonjolkan selebriti berwajah komersial masa kini.

Bakat Dan Karisma Melangkaui Rupa Paras

Di sebalik pelbagai usikan, ramai juga warganet yang tampil mempertahankan pemilihan Noah. Bagi mereka, takrifan seksi itu melangkaui paras rupa semata-mata kerana karisma serta kredibiliti seninya sudah cukup memikat penonton.

Iklan

Bakat lakonan Noah bukanlah perkara baharu. Beliau mula meledak sejak era 1990-an menerusi watak ikonik Dr. John Carter dalam drama perubatan popular, ER, bermula ketika usianya baru 22 tahun.

Kariernya terus kukuh menerusi pelbagai produksi seperti Falling Skies sebelum namanya kembali melonjak tinggi menerusi watak Dr. Michael "Robby" Robinavitch dalam siri The Pitt pada 2025. Siri berkenaan mendapat sambutan hebat sehingga musim keduanya menyusul pada 2026 dan musim ketiga pula dijadualkan tayangannya pada awal 2027.

Sepanjang bergelar anak seni, Noah telah membuktikan kemampuannya dengan menggondol empat trofi Emmy dan satu anugerah Golden Globe. Pakej kematangan usia, aura tersendiri dan bakat besar inilah yang sebenarnya melayakkan beliau diraikan sedemikian rupa.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan