Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Pelajar Terkejut Jumpa Buku Teks Milik Daiyan Trisha, Tuan Badan Tampil Respon

Seorang individu terkejut apabila mendapati buku teks tingkatan lima miliknya pernah diguna oleh Daiyan Trisha. Pelakon itu sendiri tampil mengesahkan perkara tersebut.

Pelajar Terkejut Jumpa Buku Teks Milik Daiyan Trisha, Tuan Badan Tampil Respon
Gambar: gempak

Bagi sesiapa yang pernah bersekolah di sekolah kerajaan, mesti kita biasa dapat buku teks pinjaman Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Benda pertama yang kita selalu buat bila dapat buku baharu bukanlah belek isi kandungan, tetapi semak slip senarai nama peminjam dekat bahagian belakang.

Selalunya kita nak tahu siapa senior yang pernah guna buku tersebut sebelum ini. Ada nasib dapat buku bersih, ada nasib dapat buku yang penuh contengan, dan ada juga yang bertuah dapat buku milik senior popular di sekolah.

Iklan

Terkejut Nama Daiyan Trisha Tertera Di Slip Buku Teks

Situasi unik inilah yang dialami oleh seorang pengguna media sosial baru-baru ini. Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, individu berkenaan berkongsi rasa teruja apabila mendapati buku teks Tingkatan Lima yang berada dalam simpanannya pernah dipinjam oleh selebriti terkenal tanah air, Daiyan Trisha.

Melihat nama penuh penyanyi dan pelakon berbakat itu tersenarai kemas pada helaian peminjam terdahulu, individu tersebut terus memuat naik foto berkenaan kepada umum sambil bertanya sama ada orang lain turut merasa teruja sekiranya mendapat buku teks milik senior yang kini sudah bergelar bintang terkenal.

Tuan Badan Tampil Sahkan Maklumat

Perkongsian ringkas itu pantas menarik perhatian ramai sehingga akhirnya sampai ke pengetahuan tuan punya badan sendiri. Tanpa menunggu lama, Daiyan tampil meninggalkan komen yang mengesahkan bahawa buku teks tersebut memang benar-benar pernah menjadi miliknya suatu ketika dahulu.

Iklan

Bukan sekadar mengiyakan, Daiyan turut mendedahkan butiran kelas dan sekolah lamanya bagi membuktikan kesahihan perkara tersebut.

Daiyan menyatakan dia berada di kelas 5 Inisiatif sewaktu menuntut di SMK Jalan Empat (JESS), Bandar Baru Bangi, sekali gus mengesahkan maklumat pada slip itu memang tepat dan sahih.

Nostalgia Manis Zaman Persekolahan

Menerusi hantaran berasingan, pelakon jelita ini mengakui dia pula yang berasa sangat teruja apabila mengetahui buku teks zaman persekolahannya masih elok diguna pakai oleh generasi seterusnya. Bagi Daiyan, penemuan tersebut merupakan satu perkara rawak yang sangat menyeronokkan untuk dikenang.

Iklan

Momen sebegini secara tidak langsung membawa kita mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan. Siapa sangka, buku yang pernah dibelek untuk mengulang kaji pelajaran belasan tahun lalu kini menjadi topik perbualan manis antara peminat dan artis kegemaran mereka.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan