Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Aksi Kejar Van Dari Sri Petaling Ke Cyberjaya Tular, Pemandu Rupanya Positif Dadah

Seorang penghantar makanan nekad melarikan diri dan merempuh beberapa kenderaan dari Sri Petaling ke Cyberjaya sebelum disahkan positif methamphetamine.

Aksi Kejar Van Dari Sri Petaling Ke Cyberjaya Tular, Pemandu Rupanya Positif Dadah
Gambar: Harian Metro

Kecoh di media sosial apabila tular beberapa klip rakaman memaparkan sebuah van dikejar rapat oleh kereta peronda polis (MPV). Aksi kejar-mengejar dengan siren kecemasan dibunyikan itu meredah kesesakan jalan raya, persis babak filem aksi tempatan.

Ramai pengguna media sosial tertanya-tanya apa kesalahan yang cuba disorokkan pemandu terbabit sehingga sanggup memecut laju dari Sri Petaling hinggalah ke Cyberjaya.

Iklan

Bermula Kerana Menggunakan Telefon Bimbit

Insiden tersebut sebenarnya bermula sekitar jam 1.20 tengah hari di Jalan Merah Silu, Sri Petaling. Dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan rutin terserempak dengan van jenis Nissan Vanette berkenaan.

Niat asal anggota bertugas hanyalah untuk memeriksa kenderaan itu selepas mendapati pemandunya leka menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu. Namun, arahan polis untuk berhenti langsung tidak diendahkan.

Bukannya memberi kerjasama, lelaki berusia 41 tahun itu bertindak membuat pusingan U secara mengejut sebelum memecut laju meninggalkan lokasi.

Iklan

Pecut Masuk Lebuhraya MEX, Rempuh Kenderaan Awam

Tindakan berbahaya itu memaksa pihak polis mengejarnya dari kawasan Sri Petaling terus menuju ke Lebuhraya Maju (MEX). Dalam keadaan kelam-kabut melarikan diri, suspek turut melanggar beberapa kenderaan orang awam di sepanjang laluan tersebut.

Pemandu van yang bekerja sebagai penghantar makanan itu akhirnya berjaya dipintas oleh pihak polis di Persiaran APEC, Cyberjaya. Bayangkan jarak pemanduan melulu itu, daripada ibu kota sampailah melepasi kawasan Cyberjaya.

Pengguna jalan raya yang terjejas akibat perlanggaran itu dijangka tampil membuat laporan polis berasingan dengan pihak trafik bagi menuntut ganti rugi kerosakan.

Iklan

Ujian Saringan Dedah Perkara Sebenar

Pemeriksaan menyeluruh ke atas van suspek tidak menemui sebarang muatan barang terlarang. Namun, punca sebenar dia panik dan melarikan diri terbongkar selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan.

Lelaki berkenaan disahkan positif dadah jenis methamphetamine. Malah, semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.

Kini van tersebut disita dan polis sedang giat mengesan pemilik berdaftar kenderaan itu. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan