Wong Kar Gee Hadiahkan Emas Ke-6 Malaysia, Pengorbanan Usia 35 Tahun Terbayar
Atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee membuktikan usia 35 tahun bukan halangan apabila menyumbang pingat emas keenam Malaysia di Sukan Para Asia.

Bila tengok atlet tersenyum bangga di atas podium sambil memegang pingat emas, kita rasa bangga sangat. Tapi realitinya, hanya tuan badan dan keluarga terdekat saja yang tahu betapa peritnya liku-liku latihan sebelum sampai ke tahap itu.
Perkara inilah yang dibuktikan oleh atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee. Beliau berjaya membuat lompatan emas sejauh 6.74 meter dalam saingan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menghadiahkan pingat emas keenam buat Malaysia.
Lompatan Yang Mengurangkan Tekanan Kontinjen
Kejayaan anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini bukan sekadar pencapaian peribadi semata-mata. Apa yang lebih penting, kilauan emas Kar Gee memastikan kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran enam pingat emas temasya lebih awal daripada yang dijangkakan.
Langkah ini secara tidak langsung melegakan kem negara dan mengurangkan beban mental rakan atlet lain yang masih memburu kejayaan. Dalam aksi tersebut, Kar Gee menewaskan pencabar dari Uzbekistan, Sevinchbek Khusanov yang mencatat 6.54 meter untuk pingat perak, manakala atlet Jepun, Daiki Ishiyama meraih gangsa dengan 6.48 meter.
Korban Masa Sendiri Dan Rutin Sosial
Di sebalik senyuman di podium, Kar Gee mengakui laluannya penuh dengan cabaran fizikal dan emosi. Sebahagian besar masanya dihabiskan untuk latihan keras, proses pemulihan kecederaan, menjaga pemakanan dan melawan keraguan pada diri sendiri.
Malah rutin harian sebagai atlet menuntutnya meletakkan kehidupan sosial di tempat kedua. Masa berkualiti bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terpaksa dikorbankan demi memberi tumpuan penuh kepada persediaan kejohanan.
Usia 35 Tahun Dan Sokongan Sains Sukan
Bersaing pada usia 35 tahun bukanlah satu tugas mudah bagi atlet kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah penglihatan ini. Bagaimanapun, disiplin tinggi, pengalaman bertahun-tahun serta penjagaan tubuh yang rapi menjadi kunci kekuatannya di padang.
Kejayaan ini turut digerakkan oleh sokongan padu Majlis Sukan Negara (MSN) dari segi elaun, kemudahan dan latihan. Manakala Institut Sukan Negara (ISN) pula memainkan peranan penting membantunya daripada aspek sains sukan, fisioterapi, nutrisi serta sokongan psikologi.
Tersentuh Ingat Keluarga Di Rumah
Saat lompatannya disahkan sebagai yang terbaik, perasaan pertama yang hadir dalam diri Kar Gee hanyalah rasa syukur dan lega yang teramat sangat. Segala penat lelah dan masa yang terbuang akhirnya terbayar dengan kejayaan manis itu.
Hatinya makin tersentuh apabila membayangkan ahli keluarga yang setia berkumpul di hadapan televisyen di tanah air demi memberikan sokongan. Lebih-lebih lagi selepas kini bergelar seorang bapa, Kar Gee mengakui dia makin faham erti pengorbanan besar yang pernah dicurahkan kedua ibu bapanya sewaktu membesarkannya dahulu.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Rumah Kapten Man United Dipecah Masuk, Gambar Hiasan Dalaman Puncanya?
Rumah Bruno Fernandes bernilai RM21.84 juta dipecah masuk tiga lelaki bertopeng ketika dia beraksi di Itali. Hantaran media sosial disyaki jadi punca.

Rahang Patah Lepas Bertembung, Chelsea Bakal Pertaruh Mike Penders Lawan Spurs
Chelsea berdepan ujian getir apabila Emi Martinez tersisih susulan pembedahan rahang, membuka ruang kepada Mike Penders untuk beraksi menentang Spurs.

Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah Mara Bergaya, Wooi Yik Pula Cedera
Kem badminton negara lalui detik bercampur baur di Terbuka Perancis apabila Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir, manakala Wooi Yik terpaksa tarik diri akibat kecederaan.