Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Taktik Guna Dua Nama Terbongkar, Polis Indonesia Rampas Lebih 2 Tan Dadah

Operasi besar-besaran pihak berkuasa Indonesia berjaya merampas lebih dua tan dadah termasuk ketamin di kapal tangki dan syabu di makmal haram.

Taktik Guna Dua Nama Terbongkar, Polis Indonesia Rampas Lebih 2 Tan Dadah
Gambar: Harian Metro

Siapa sangka sebuah kapal tangki yang nampak tenang berlayar di tengah lautan rupa-rupanya membawa muatan gelap dalam jumlah yang luar biasa banyak. Pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup lebih dua tan dadah dalam operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi.

Kejayaan besar ini bermula apabila sebuah kapal tangki dipintas di kawasan perairan Sumatera Utara. Bukan sedikit, rampasan di atas kapal itu sahaja melibatkan lebih satu tan ketamin.

Iklan

Helah Dua Nama Pada Sistem Kapal

Gerak-geri kapal tangki bernama MT Global 168 itu sebenarnya sudah dipantau rapi selama hampir seminggu. Operasi bersepadu ini digerakkan bersama oleh pihak polis, Badan Narkotik Kebangsaan, jabatan kastam serta polis marin Indonesia.

Pihak penyiasat mula menghidu sesuatu yang mencurigakan sejak 14 Oktober lalu ketika kapal berkenaan melalui kawasan perairan berdekatan Malaysia sebelum menghala ke utara Aceh dan Thailand. Taktik licik sindiket mula terbongkar apabila sistem pengenalan automatik kapal itu dikesan memaparkan dua nama berbeza, iaitu MT Global dan Gross Dolphin.

Kecurigaan itu membawa kepada serbuan di luar perairan Tanjung Balai Asahan. Pemeriksaan rapi membawa kepada penemuan 58 guni berisi 1.16 tan ketamin. Dalam operasi tersebut, lapan anak kapal berjaya ditahan, membabitkan tujuh warga tempatan Indonesia dan seorang warga asing.

Iklan

Serbuan Makmal Haram di Aceh

Rupa-rupanya kejayaan mereka tidak terhenti di atas kapal itu sahaja. Rentetan siasatan lanjut membawa pihak berkuasa ke sebuah makmal haram yang terletak di wilayah Aceh.

Di lokasi makmal berkenaan, pihak polis menemui kira-kira 1.2 tan syabu. Nilai rampasan syabu itu dianggarkan mencecah 2.16 trilion rupiah, atau bersamaan sekitar RM487.29 juta. Jumlah yang sangat besar dan boleh merosakkan jutaan nyawa sekiranya terlepas ke pasaran gelap.

Tindakan Keras Menanti Pesalah

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan serantau, umum sedia maklum bahawa Indonesia mempunyai undang-undang antidadah yang antara paling ketat di dunia. Negara jiran itu langsung tidak berkompromi dengan jenayah penyeludupan bahan terlarang seperti ini.

Iklan

Sebagai rekod, hukuman mati pernah dilaksanakan terhadap pesalah dadah berprofil tinggi sebelum ini, termasuk anggota sindiket antarabangsa Bali Nine pada tahun 2015. Dengan jumlah rampasan yang begitu besar kali ini, kesemua individu yang ditahan pastinya berdepan tindakan undang-undang yang amat berat.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan