Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Ada Pengalaman Pentadbiran & NGO, Jonathan Vela Dilihat Berpotensi Jadi Calon PRU

Penganalisis politik melihat Jonathan Vela wajar diberi perhatian sebagai calon muda PRU susulan pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan dan kerja akar umbi.

Ada Pengalaman Pentadbiran & NGO, Jonathan Vela Dilihat Berpotensi Jadi Calon PRU
Gambar: ohmymedia.cc

Desakan untuk melihat muka baharu dalam arena politik tanah air semakin rancak diperkatakan. Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, nama Jonathan Vela mula mencuri perhatian penganalisis politik sebagai antara tokoh muda yang wajar dipertimbangkan sebagai calon wakil rakyat.

Penglibatan beliau yang merangkumi pentadbiran kerajaan, politik kepartian serta aktivisme masyarakat dilihat memberi kelebihan tersendiri berbanding calon yang hanya bersandarkan populariti semata-mata.

Iklan

Faham Pentadbiran, Bukan Retorik Kosong

Pensyarah Kanan UIAM, Prof. Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri berkongsi pandangan bahawa parti politik wajar membuka ruang seluasnya kepada bakat muda yang mempunyai kelayakan serta pengalaman relevan.

Jelas beliau, pendedahan Jonathan dalam jentera pentadbiran membolehkannya memahami selok-belok pengurusan kerajaan secara langsung. Hal ini penting untuk memupuk politik matang, di mana calon dinilai berasaskan pengalaman dan prestasi kerja dan bukannya sekadar retorik politik.

Pun begitu, Syaza mengingatkan bahawa pengalaman pentadbiran sahaja tidak menjamin kerusi pilihan raya. Parti tetap perlu mencari keseimbangan dengan memilih calon yang boleh menang (winnable), iaitu individu yang benar-benar dekat di hati rakyat menerusi gerak kerja di peringkat akar umbi.

Iklan

Kelebihan Rentas Sektor Korporat dan NGO

Sementara itu, penganalisis dari UMS, Prof. Madya Dr. Romzi Ationg berpendapat gabungan latar belakang Jonathan dalam sektor korporat, NGO dan agensi kerajaan menawarkan asas kukuh untuk menilai potensi kepimpinannya.

Pengalaman berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri misalnya memberikan gambaran menyeluruh tentang bagaimana dasar Persekutuan dirangka dan diselaraskan agar selari dengan keperluan rakyat. Namun, Dr. Romzi menegaskan bahawa profil hebat di atas kertas tetap perlu dibuktikan melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar di lapangan.

Beliau menambah, pembaharuan kepimpinan parti yang sihat tidak seharusnya bersandarkan faktor umur semata-mata. Sebaliknya, parti perlu bijak menggabungkan pengetahuan institusi milik pemimpin berpengalaman dengan idea segar serta pendekatan baharu generasi muda.

Iklan

Profil dan Penglibatan Semasa

Ketika ini, Jonathan menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri. Di peringkat kepartian pula, beliau memegang portfolio sebagai Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan serta Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak.

Selain memiliki pengalaman dalam sektor korporat, beliau turut aktif memimpin pertubuhan masyarakat dan terlibat secara langsung dalam program-program kebajikan setempat.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan