Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Rempuh 2 Remaja Lawan Arus: Pemandu Terlepas Tuduhan Bunuh, Dipenjara 9 Tahun

Pemandu pikap yang merempuh dua remaja di Lebuhraya Persekutuan terlepas tuduhan bunuh selepas mahkamah meminda kes kepada kesalahan tanpa niat. Tertuduh dipenjara 9 tahun.

Rempuh 2 Remaja Lawan Arus: Pemandu Terlepas Tuduhan Bunuh, Dipenjara 9 Tahun
Gambar: ohmymedia.cc

Masih ingat lagi tak dengan tragedi menyayat hati di Lebuhraya Persekutuan sekitar September 2021? Insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh kereta dinaiki dua orang remaja sehingga maut pernah menggemparkan negara dan mencetuskan kemarahan ramai.

Terbaharu, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan denda berjumlah RM60,000 terhadap pemandu berkenaan, K Devaaswin, 29 tahun. Keputusan ini dibuat selepas pertuduhan asal membunuh yang dihadapinya dipinda kepada pertuduhan lain.

Iklan

Pindaan Pertuduhan Selepas Intipati Kes Gagal Dibuktikan

Sebelum ini, tertuduh berdepan hukuman berat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh. Namun, Hakim Bhupinder Singh memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati bagi kesalahan membunuh tersebut, biarpun seramai 14 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Susulan daripada keputusan hakim berkenaan, mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat. Tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan terpinda itu.

Selain hukuman penjara sembilan tahun yang diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan, mahkamah turut menetapkan bayaran denda RM30,000 bagi setiap mangsa yang terkorban.

Iklan

Imbasan Tragedi Runtun Jiwa

Kemalangan maut itu berlaku kira-kira jam 1.50 pagi pada 12 September 2021 di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan. Dua mangsa muda yang terkorban ialah Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18.

Kedua-dua mangsa menaiki sebuah Proton Wira sebelum dirempuh secara berdepan oleh kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Devaaswin secara melawan arus. Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Penanda Aras Baharu Kes Kemalangan Jalan Raya

Pihak pembelaan yang diwakili peguam N Sivananthan dan Nabila Habib menyambut baik keputusan hakim yang menggugurkan tuduhan bunuh terhadap anak guam mereka. Peguam menjelaskan keputusan ini sangat penting dalam sistem kehakiman negara kerana ia memperjelaskan garis pemisah antara membunuh dengan sengaja dan menyebabkan kematian tanpa niat.

Iklan

Isu ini khususnya menyentuh pembuktian elemen niat atau keadaan fikiran tertuduh, terutamanya dalam kemalangan yang dikaitkan dengan dakwaan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Kes ini juga disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia yang melalui proses perbicaraan penuh bagi pertuduhan bunuh di Mahkamah Tinggi membabitkan insiden sebegini.

Walaupun prosiding undang-undang telah selesai, pihak pembelaan turut merakamkan rasa simpati mendalam terhadap keluarga kedua-dua mangsa atas kehilangan insan tersayang.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan