Siakap KeliLive · Auto-update
Sukan

Ingat Percuma? Tonton Bola EPL Guna Strim Haram Boleh Buat Data Peribadi Lesap

Ingat jimat tonton aksi EPL di laman strim haram? Kajian dedah ia 17 kali lebih berisiko dedahkan data peribadi dan wang anda kepada ancaman siber.

Ingat Percuma? Tonton Bola EPL Guna Strim Haram Boleh Buat Data Peribadi Lesap
Gambar: gempak

Siapa yang tidak suka benda percuma, kan? Tambah pula bila tiba malam minggu dan ada perlawanan besar membabitkan pasukan kesayangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Ramai peminat bola sepak di negara ini gemar mencari pautan siaran langsung percuma di internet semata-mata mahu menjimatkan poket.

Namun, sebelum anda seronok klik pautan penstriman tanpa kebenaran itu, ada baiknya anda berwaspada. Tabiat ini sebenarnya ibarat membuka pintu rumah seluas-luasnya kepada penjenayah siber tanpa anda sedar.

Iklan

Risiko Cecah 17 Kali Ganda

Dapatan kajian bebas oleh pakar keselamatan siber, Profesor Paul Watters mendedahkan laman penstriman haram sebenarnya 17.3 kali lebih berisiko berbanding laman web arus perdana. Angka ini bukan sekadar statistik kosong, sebaliknya membuktikan betapa bahayanya ruang maya tersebut kepada peranti anda.

Kajian itu mendapati 66 peratus daripada laman cetak rompak berkenaan mempunyai tahap risiko siber yang tinggi atau kritikal. Pengguna terdedah kepada kecurian identiti, penipuan kewangan serta jangkitan perisian hasad.

Lebih menakutkan, kira-kira 54 peratus laman terbabit dikesan menjalankan aktiviti mencurigakan seperti taktik pancingan data (phishing) dan muslihat berniat jahat. Sementara itu, 44 peratus lagi secara terang-terangan mendedahkan pelawat kepada lambakan iklan berbahaya.

Iklan

Bukan Sekadar Tontonan Percuma

Pengarah Undang-Undang Penguatkuasaan EPL, Stefan Sergot turut menegaskan penstriman haram mungkin nampak seperti jalan pintas yang mudah untuk menikmati sukan kegemaran, namun bahaya yang menanti di sebaliknya jauh lebih besar daripada yuran langganan bulanan.

Menyedari isu ini semakin membimbangkan, kempen Boot Out Piracy kembali digerakkan di Malaysia menerusi kerjasama dengan penyiar tempatan, Astro. Inisiatif ini bertujuan membuka mata orang ramai tentang ancaman sebenar di sebalik pautan percuma.

Kempen tersebut turut menampilkan bintang ternama EPL seperti kapten Liverpool, Virgil van Dijk, Bryan Mbeumo dan pemain Arsenal, Eberechi Eze menerusi siri video kesedaran khas.

Iklan

Langkah Keselamatan Buat Peminat

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Laila Saat menyarankan peminat memilih platform yang sah supaya pengalaman menonton perlawanan lebih lancar, selamat dan berkualiti tinggi tanpa rasa bimbang tentang keselamatan peranti.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan beberapa taktik biasa laman strim haram seperti:

  • Tawaran akses perlawanan secara percuma yang mencurigakan.
  • Arahan memasang aplikasi pihak ketiga yang tidak disahkan integritinya.
  • Permintaan mengisi maklumat sensitif seperti data peribadi atau perbankan.
  • Laman yang sarat dengan iklan timbul serta mengalihkan pelayar web anda ke laman lain secara mendadak.

Minat pada bola sepak memang tidak salah, tetapi jangan sampai akaun bank atau data peribadi anda yang menjadi taruhan hanya kerana mahu jimat beberapa ringgit.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan