Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Wajah Baharu SMK Dato' Ahmad Lenggong, Siap Ada Studio Podcast Canggih Untuk Pelajar!

Lebih 620 warga SMK Dato' Ahmad di Lenggong kini tersenyum lebar apabila sekolah mereka menerima bilik guru moden dan studio digital lengkap hasil inisiatif Sekolah Angkat MADANI.

Wajah Baharu SMK Dato' Ahmad Lenggong, Siap Ada Studio Podcast Canggih Untuk Pelajar!
Gambar: Harian Metro

Bila sebut fasal sekolah di kawasan luar bandar, mungkin ramai yang terbayang fasiliti serba sederhana. Tapi suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad, Lenggong hari ini nampaknya sudah berubah wajah dan bakal buat ramai cemburu.

Mana tidaknya, seramai 554 pelajar bersama 58 guru dan sembilan kakitangan sokongan kini boleh menikmati kemudahan pengajaran serta pembelajaran digital yang serba canggih. Transformasi hebat ini berjaya direalisasikan menerusi program Sekolah Angkat MADANI yang diterajui bersama pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Iklan

Dari Bilik Jahitan Kini Jadi Studio Podcast

Paling mencuri perhatian sudah tentulah ruang pembelajaran digital baharu yang disediakan. Menariknya, ruang yang sebelum ini hanya digunakan sebagai bilik jahitan serta surau sementara telah diubah suai sepenuhnya menjadi sebuah Bilik Digital.

Bilik ini bukan sekadar ada komputer biasa, malah dilengkapi:

  • Televisyen pintar interaktif untuk sesi pembelajaran lebih menarik.
  • Studio audio siar (podcast) lengkap dengan kamera berkualiti tinggi.
  • Sistem pencahayaan, audio dan peralatan rakaman profesional.

Fasiliti begini bukan sahaja membantu sesi kelas harian, malah membuka ruang luas buat pelajar mencungkil bakat dalam dunia penciptaan kandungan digital, kemahiran bercakap dan komunikasi.

Iklan

Bilik Guru Pun 'Level' Pejabat Korporat

Bukan murid sahaja yang tersenyum gembira, para pendidik di sekolah ini turut menerima 'durian runtuh'. Bilik guru yang dinaik taraf kini kelihatan jauh lebih kemas dan selesa seperti ruang pejabat moden.

Lengkap dengan penyaman udara, perabot baharu, pencahayaan yang lebih terang serta ruang khas untuk mesyuarat dan perbincangan, suasana kerja guru kini pastinya jauh lebih kondusif dan praktikal.

Majlis perasmian fasiliti baharu ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Beliau menzahirkan rasa penghargaan kepada Perdana Menteri atas inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang berjaya menggabungkan kerjasama kerajaan dan sektor swasta demi memartabatkan pendidikan negeri.

Iklan

MRCB Turunkan Pasukan Jurutera Sendiri

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim, projek ini bukan sekadar memberi sumbangan dana semata-mata. Pihak mereka turut menghantar pasukan jurutera dan pengurusan projek sendiri untuk memastikan setiap kerja naik taraf menepati keperluan sebenar warga sekolah.

Untuk rekod, SMK Dato' Ahmad merupakan salah sebuah daripada lima sekolah angkat MRCB di bawah program ini yang merangkumi sekolah rendah dan menengah di Perak, Pulau Pinang serta Perlis.

Inisiatif nasional di bawah Kementerian Kewangan ini menyasarkan peluasan sehingga 1,500 buah sekolah di seluruh negara bagi Fasa 2.0 nanti. Usaha sebegini membuktikan bahawa anak-anak di luar bandar juga tidak dipinggirkan untuk menikmati arus pendidikan moden.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan