Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

TOTYA 2026: Penyertaan Naik 146%, Kerajaan Sedia RM150 Juta Demi Tandas Bersih

Penyertaan Anugerah Tandas Terbaik melonjak hebat dengan 849 premis bertanding. KPKT turut umum dana RM150 juta demi pastikan tandas awam bertaraf dunia.

TOTYA 2026: Penyertaan Naik 146%, Kerajaan Sedia RM150 Juta Demi Tandas Bersih
Gambar: OH! Media

Kalau dulu ramai yang mengeluh setiap kali terpaksa guna tandas awam, nampaknya situasi sekarang sudah mula berubah ke arah yang jauh lebih baik. Isu kebersihan tandas bukan lagi perkara yang dipandang enteng, malah persaingan untuk memiliki fasiliti paling tip-top di negara kita semakin sengit.

Perkembangan positif ini terbukti menerusi penganjuran Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) yang mencatatkan rekod baharu dengan 849 penyertaan. Angka ini menunjukkan lonjakan mendadak sebanyak 146 peratus berbanding 345 penyertaan sahaja sewaktu ia mula-mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Iklan

Bukan Sekadar Anugerah, Jadi Budaya Nasional

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming menjelaskan bahawa sambutan luar biasa ini membuktikan kesedaran pelbagai pihak sudah meningkat. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), institusi pendidikan, hinggalah pengusaha premis komersial kini berlumba-lumba menyediakan kemudahan yang bersih, selesa, menawan dan wangi.

20261020 afs 4107

Bercakap pada majlis anugerah yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights, beliau menekankan bahawa kebersihan tandas awam mencerminkan tahap disiplin dan peradaban sesebuah negara. Apatah lagi dengan sasaran kehadiran sekitar 47 juta pelancong, kemudahan asas inilah yang sering membentuk persepsi serta pandangan pertama pelancong luar terhadap Malaysia.

Teknologi Tandas Pintar BMW-i & Sistem Pantau Digital

Bagi memastikan standard kebersihan sentiasa konsisten dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, KPKT kini giat memperkenalkan konsep Tandas Pintar BMW-i. Pendekatan moden ini menggabungkan sistem automasi, sensor persekitaran serta pemantauan digital agar kerja penyelenggaraan jadi lebih cekap.

Iklan
20261020 afs 4377

Bukan itu sahaja, tahap kebersihan kini boleh dinilai secara lebih telus menerusi Aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTA). Langkah digital ini memudahkan pemantauan dilakukan secara terus dan sistematik di seluruh premis awam.

Komitmen RM150 Juta Demi Keselesaan Rakyat

Usaha mencantikkan tandas awam ini turut disokong dengan dana yang bukan sedikit. Kerajaan mengumumkan komitmen baharu sebanyak RM150 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030 khas untuk membaik pulih, menyelenggara dan menaik taraf tandas milik PBT di seluruh tanah air.

Sebagai rekod, sejak 2023 sebanyak RM154 juta telah disalurkan bagi kerja naik taraf yang melibatkan 1,529 tandas awam PBT. Hasil usaha berterusan itu menyaksikan sejumlah 11,835 buah tandas awam berjaya dinaik taraf setakat ini. Inisiatif gabungan kerajaan dan sektor swasta ini juga dijangka merancakkan pasaran industri kelengkapan tandas melebihi RM100 juta.

Iklan
dsc 4659

Rebut Ganjaran RM20,000

Bagi edisi TOTYA 2026, sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan merangkumi:

  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
  • Hotel
  • Sekolah
  • Stesen minyak
  • Restoran
  • Pusat beli-belah
  • Kawasan Rehat dan Rawat (R&R)
  • Rumah ibadat

Pemenang utama bagi setiap kategori membawa pulang ganjaran tunai sebanyak RM20,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan. Diharapkan pengiktirafan begini bukan sahaja membakar semangat pengusaha premis, malah mendidik masyarakat kita untuk sama-sama menjaga kemudahan awam agar kekal bersih setiap masa.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan